Wednesday, July 28, 2010

Maha Suci ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT dengan izin dan kasih sayangNya, ALLAH sudi memberikan peluang pada diri ini untuk menukilkan perkongsian yang dipetik dari mana-mana artikel untuk perkongsian bersama..


Istimewa hadiah daripada ALLAH adalah peluang untuk merasai nikmat keindahan IMAN dan ISLAM dalam hidup ini
Ketahuilah sesungguhnya ALLAH SWT pasti memberikan cubaan padamu. Dia akan menguji hakikatmu. Benar-benar seperti yang pernah dinyatakannya dalam Al-Quran dengan firmanNya
Alif Lam Mim. Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa Kami telah beriman dan sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Surah Al-Ankabut: 1-3


Orang yang paling berat dicuba ialah para Nabi, kemudian yang paling baik selepasnya, kemudian orang yang paling baik selepas itu.


Sesungguhnya ALLAH SWT apabila mengasihi sesuatu kaum, dicubanya mereka itu (dengan berbagai-bagai cubaan), barangsiapa yang rela dengan cubaan itu maka mereka mendapat kerelaanNya. Barangsiapa yang benci (marah) maka baginya kemurkaan ALLAH SWT

(Fathi Yakan, 2007).


Gunakanlah prinsip: Ujian hidup ialah satu didikan langsung daripada ALLAH, insya ALLAH kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Percayalah, ALLAH mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian maupun cercaan. Apabila bertemu kesusahan, ALLAH mendidik kita tentang sabar. Apabila kesenangan bertamu, ALLAH mengajar kita erti kesyukuran. Apabila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi apabila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, ALLAH mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.


Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah dengan orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu. Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud di sebalik takdir-takdir ALLAH itu. Dengarlah suara tarbiyah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi ALLAH, apa yang ditakdirkanNya pasti satu kebaikan. Carilah kebaikan itu. Jangan mengeluh apabila kita tidak berjaya seperti insan-insan lain. Jika kita terus mengeluh, kaki kita akan melekat selamanya di anak tangga ujian itu. Kita tidak akan meningkat lebih tinggi. Terimalah dengan pasrah, tetapi jangan sekali-kali berputus asa dengan ALLAH. Hati tunduk akur berteman sabar namun akal ligat berputar mencari jalan keluar



Jangan memberontak, asyik mempersoalkan mengapa dan kenapa,namun kita tidak dapat mengubah realiti. Bukankah takdir akan sentiasa mengatasi tadbir? Tunduk dan akurlah pada takdir dengan mengatur sebaik-baik tadbir. Sebaik-baik jalan, terimalah seadanya. Ya, itu telah berlaku, ya ..itulah keadaannya...Tidak kira bagaimana keadaannya sekalipun, kita tetap hamba ALLAH. Jangan cuba 'jadi Tuhan' walaupun pada kehidupan kita sendiri



Hapuskanlah dendam, iri hati dan marah yang bersarang dalam jiwa. Kemaafan membuahkan kebaikan. Kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan menjadi semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Belajarlah sesama insan, nescaya kita akan terasa kesan didikanNya


(Telaga Biru, 2009).


Aliran ilmu umpama aliran air. Air sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Lebih rendah sesuatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang bertakung di situ. Maka, lembah dan lurah sering bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka begitu ilmu, perlu 'ditakung' dengan hati yang merendah diri. Semakin tawaduk seseorang, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.


Ya,begitulah jua adab kita belajar dengan kehidupan ini. Jika merendah diri, kita boleh belajar hampir dengan semua orang, keadaan dan peristiwa. Teringat kata Luqman Al- Hakimketika ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, "Aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya." Luqman menjadikan si jahil sebagai 'gurunya' yang mengajar erti sempadan pada percakapan dan tindakan. Apabila kita sentiasa ingin dan bersedia untuk belajar, maka akan muncul 'guru-guru' yang mahu mengajar kita.Bergurulah dengan pengalaman hidup sendiri. Sesetengah ilmu perlu 'dirasai' baru boleh difahami, dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan.


Jangan kesal jika kita tersalah pada masa lampau. Melakukan kesalahan dan kesilapan adalah bukti kita masih manusia. Oleh itu, sebaik mendapat pengajaran daripadanya, lupakan dan tumpukan ke masa depan. Sesiapa yang tidak memandang ke depan akan sentiasa tertinggal di belakang. Masa akan terus berlalu. Apa yang penting, gunakan pengajaran masa lampau untuk 'mengemaskini' masa kini dan merancang masa depan.
Jangan pula berbangga jika kita dalam kebenaran. Kerana, tidak ada jaminan kita akan seterusnya benar sepanjang hayat. Sering diperingatkan, kejayaan hari ini boleh menjadi musuh kepada kejayaan hari esok. Jagalah kebenaran yang kita miliki dengan selalu memohon hidayah dan taufik dari ALLAH. Ingatlah kata-kata ulama, dosa yang menyebabkan kita menangis kerana bertaubat dan takutkan ALLAH adalah lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur. Renungilah ya..


Belajarilah 'menikmati' keikhlasan dengan rasa ingin membuat kebaikan tanpa dilihat oleh orang lain. Kekadang gelanggangnya hanya sekangkang kera, namun peranannya seluas maya pada. Adakalanya pangkat mereka cuma kuli biasa, namun jasanya mengatasi hartawan, bangsawan dan sarjana.


(Pahrol, 2009)


Terlalu hebat percaturan ALLAH. Semua ketentuanNya adalah atas rasa kasih dan sayangNya pada kita. Boleh jadi herba yang pahit adalah penawar bagi penyakit dan gula yang manis menjadi punca kepada penyakit. Dalam hidup ini, hendaklah kita sentiasa bernaung di bawah lindungan ALLAH SWT, terus berhubung denganNya, bertawakal padaNya, berpegang kepada kitabNya dan mengikuti RasulNya. ALLAH SWT telah berfirman, "Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah:216) dan ALLAH berfirman lagi...mereka merancang, ALLAH jua merancang, sebaik2 perancang adalah ALLAH jua..SubhanALLAH..


TAKUTKAN ALLAH, MEMBAWA DIRI DAN HATI DEKAT PADANYA
HIDUP INI INDAH JIKA SEGALANYA KERANA ALLAH


Pesan pada diri
Teguhkan ketetapan hati
Kukuhkan akidah Islami
Hidup sebagai Abdi
Hiasi peribadi
Dengan akhlak para nabi
Ingat janji Rabbi
Kasih dan Redha Ilahi
Insya ALLAH pasti mengiringi

Tuesday, July 20, 2010

Hadith pilihan kali ini

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
HADIS 35

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim.

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali -
Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.

Pengajaran hadis:

(1) Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian
hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.

(2) lslam melarang umatnya dari saling hasad dengki, tipu menipu, benci membenci dan pulau
memulau kerana semua sifat ini adalah sifat buruk yang hanya akan membawa kepada kerosakan, huru-hara dan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat akan hancur sekiranya setiap anggota mempunyai sifat-sifat buruk seumpama ini.

(3) lslam juga melarang seseorang memotong jual beli saudaranya sehingga dia selesai membuat
keputusan sama ada mahu meneruskan jual beli tersebut atau membatalkannya. Apabila jual beli itu dibatalkan, maka bolehlah dia menawarkan diri untuk berurus niaga. Etika ini diajar oleh lslam demi memelihara hubungan persaudaraan sesama muslim agar tidak timbul permusuhan akibat perbuatan memotong urusniaga orang lain.

(4) Umat lslam digesa hidup sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan masing-masing menunaikan hak saudaranya dengan sempurna. Antara hak saudara seagamanya ialah bahawa dia tidak menzaliminya, tidak membiarkannya dihina, tidak membohonginya dan tidak mencerca atau menghinanya. Cukuplah seorang mukmin mendapat kecelakaan apabila dia suka menghina saudaranya.

(5) Taqwa adalah perkara tersembunyi yang ada di dada seseorang, ia bukannya suatu perkara yang boleh didakwa. Taqwa tidak seharusnya didakwa-dakwa bahkan ia adalah perkara tersembunyi di dada, namun ia dapat dikesan berdasarkan amalan seseorang kerana seorang yang bertaqwa hanya akan melakukan amalan soleh dan berakhlak mulia.
Wallahu'alam..
Marilah kita bersama-sama ambil iktibar daripada hadis ini, insya ALLAH..

Wednesday, July 14, 2010

Janji ALLAH pasti datang walau tanpa diduga


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Innalillahi wainna ilaihi raji'un..

Kepada ALLAH kami datang dan kepada Nya kami kembali..


Bukti kekuasaan ALLAH yang Maha Perkasa dan Maha Berkehendak, tiada siapa mampu menahan..
ALLAH lebih menyayangimu..


Pemergianmu yang tidak siapa menduga

Kehilanganmu sukar dicari ganti

Kebaikan dan jasamu sentiasa dalam ingatan setiap insan yang mengenalimu
Ilmu mu yang menggunung tinggi yang kau curahkan semampumu kepada kami

Tidak ternilai harganya
Hanya Doa sebagai penghubung tanda kasih dan penghargaan dari kami
Akhlakmu cerminan Al-Quran Kalamullah dan biasan pekerti warisan para nabi

Sumber inspirasi kami untuk mengikuti jejak langkah mu sedaya kami
Kesungguhanmu untuk mengangkat ISLAM

Membakar semangat kami untuk meneruskan perjuangan

Kini
Kasih sayang ALLAH telah menjemputmu pergi ke alam yang lebih abadi

Alam yang pasti dilalui setiap insan yang bernyawa apabila telah putus nafasnya

Alam rehat bagi mereka yang berjuang tanpa mengerti penat lelah dan rehat semasa di dunia
Peristiwa yang menjadi iktibar dan pengajaran buat yang masih ada
Sesungguhnya dunia ini hanyalah persinggahan bagi makhluk yang bernyawa

Hanya Akhirat alam yang kekal abadi
Setiap yang bernyawa pasti akan pergi menemuiNya
Membawa segala amal perbuatan di dunia

Ujian ALLAH untuk melihat siapakah dikalangan hambaNya yang paling baik amalan semasa hidup
Yang merindui untuk bertemu Tuhan Yaumul Qiyamah

Pada suatu masa yang entah bila tibanya

Tidak mampu ditangguh dan dipercepatkan walau sesaat
Bertemu janji ALLAH


Sudahkah kita bersedia menemuiNya?

Mungkinkah kita selepas ini?

Adakah ini Sya'ban yang terakhir?
Sempatkah kita menyambut Ramadhan tahun ini?


Marilah kita bersama-sama persiapkan diri

Untuk bertemu denganNya

Wallahu'alam..
AL-FATIHAH....

Wednesday, June 2, 2010

Kuatkanlah kami Ya ALLAH




Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Sujudlah pada Ilahi, hatimu akan tenang dan tenteram, jiwamu akan lebih terarah ke jalan keredhaan ALLAH diikuti langkah gerak dan tutur bicaramu, insyaALLAH...

Ujian hidup yang sentiasa mengiringi perjalanan manusia menuju ALLAH perlulah dihadapi sebaiknya dengan penuh berhati-hati dan waspada. Andai tersilap langkah, kita akan mendapat balasan daripada ALLAH tanpa terlepas walau sekecil zarah pun, sama ada berupa ganjaran mahupun hukuman.

Kekuatan jiwa amatlah diperlukan dalam menempuh segala ujian yang mendatang seiring dengan bekalan ilmu dan kemahiran yang ada pada diri. Mintalah kekuatan jiwa daripada Maha Pencipta sekalian jiwa-jiwa. Mintalah dengan bersungguh-sungguh dan peliharalah hubungan dengan Nya dengan sebaik-baiknya. Sujudlah dengan sebenar-benar sujud hanya kepada ALLAH Yang Esa dan bukan selainNya. Hanya ALLAH sahaja yang mampu membantu kita dalam setiap usaha kita kerana DIALAH YANG MAHA PENENTU SEGALANYA. Dialah yang Maha Perkasa ke atas sekalian makhlukNya di langit dan di bumi. Semuanya berada dalam genggamanNya, tidak akan terlepas dari pandangan dan perhatian ALLAH. Tidak akan terlepas dari percaturan ALLAH.

Berjuanglah dan teruskanlah berjuang mengikut kemampuanmu. Hapuskan musuh-musuh di sekitarmu tanpa perlu ada ragu. Teruslah berjuang pada sekalian Mujahidin di seluruh dunia walau di mana antum semua berada. Walau diri ini tidak bersama-sama kalian berdepan dengan serangan Zionis laknatullah kini, namun doa dan sokongan kami yang penuh tanpa berbelah bagi perjuangan kalian sentiasa kami sediakan dan kami akan sentiasa berada bersama kalian untuk meneruskan perjuangan kalian berdepan dengan mereka jika diizinkan olehNya, insya ALLAH, sekalipun di medan yang berbeza. Kekejaman mereka sejak dulu lagi memang tidak boleh dimaafkan kerana mereka pemusnah dunia yang sombong, bongkak, takbur, kejam, zalim, tidak pernah sujud pada Maha Pencipta yang telah menciptakan mereka sebaik2nya. Mereka telah meletakkan diri lebih teruk daripada haiwan dan lebih hina daripada iblis dan syaitan laknatullah.

Ya ALLAH,
Sesungguhnya kami meletakkanMu,
Di batang-batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung denganMu,
Daripada kejahatan-kejahatan mereka.

Ya ALLAH,
Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
Pecah-belahkanlah dan kacau-bilaukanlah persatuan mereka,
Goncangkanlah pendirian mereka,
Dan hantarkanlah anjing-anjingMu kepada mereka,
Wahai Tuhan yang Gagah Perkasa,
Wahai Tuhan yang Maha Menghukum,
Wahai Tuhan yang Bersifat Murka.

Ya ALLAH, Ya ALLAH, Ya ALLAH,
Wahai Tuhan yang menurukan kitab,
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-Ahzab,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Dan menangkan kami ke atas mereka,
AMIN YA RABBAL 'ALAMIN..

TAKBIR!!!

Wednesday, April 28, 2010

Doalah padaNya



Bismillahirrahmanirrahim




Ya ALLAH
Kami bermohon kepadaMu rahmat yang memberikan hidayah pada hati kami dan melengkapkan kesempurnaan diri kami. Dan menampung kekurangan kami dan memperbaiki apa yang tiada pada diri kami dan menaikkan kedudukan kami dengan persaksian dan menyucikan perbuatan kami, dan memberikan kepada kami ilham dan mengembalikan kepada kami ketenangan dan melindungi kami daripada kejahatan.

Ya ALLAH
Anugerahkanlah buat kami keimanan dan keyakinan yang tidak kufur selepasnya, dan rahmat yang membolehkan kami mencapai kemuliaan dunia dan akhirat.

Ya ALLAH
Kami pohon kepada Mu kemenangan dan kedudukan para syuhada' dan kehidupan orang yang bahagia dan kemenangan atas musuh.

Ya ALLAH
Penuhkanlah hajat kami, walaupun lemahnya diri kami dan amalan kami, namun kami tetap mengharapkan rahmatMu. Maka kami mohon kepada Mu untuk menunaikan segala perkara melegakan kami, sebagimana Engkau menyelamatkan, selamatkanlah kami daripada api neraka dan daripada gangguan kekufuran dan fitnah kubur.

Ya ALLAH
Apa yang tidak mampu kami memintanya sedangkan Engkau menganugerahinya kepada hamba-hambaMu, maka kami memintanya. Kami mengharapkan dengan rahmatMu wahai Tuhan sekalian alam.

Ya ALLAH
Yang memiliki berbagai rahsia dan urusan, kami memohon kepada Mu keselamatan pada hari kiamat dan syurga pada hari kekal bersama dengan para muqarrabin yang telah bersaksi, para mukminin yang sentiasa sujud menunaikan janji, sesungguhnya Engkau Maha Pengasih lagi Maha penyayang dan melakukan apa yang Engkau kehendaki

Ya ALLAH
Jadikanlah kami ini sentiasa menyampaikan hidayah dan mendapat hidayah, bukannya yang sesat dan menyesatkan, pembawa keselamatan buat para wali-Mu memerangi musuhMu, kami cinta dengan kecintaanMu orang yang mencintaiMu dan memusuhi sesiapa yang memusuhiMu.

Ya ALLAH
Inilah doa-doa kami, kabulkanlah ia dan ini merupakan usaha dan tawakal buatMu.

Ya ALLAH
Kurniakanlah cahaya dalam hati kami, cahaya dalam kubur kami, cahaya di hadapan kami dan cahaya di belakang kami, dan cahaya di sebelah kanan kami dan cahaya di sebelah kiri kami, dan cahaya dari atas kami dan cahaya dari bawah kami dan cahaya pada pendengaran kami dan cahaya dari penglihatan kami dan cahaya dari rambut kami dan cahaya dari kulit kami dan cahaya pada rambut kami dan cahaya dalam tulang kami, dan cahaya dalam daging kami dan cahaya dalam darah kami.

Ya ALLAH
Kurniakanlah buat kami cahaya yang agung dan berikanlah cahaya kepada kami, Maha Suci Engkau yang memiliki keagungan dan maha Mulia dengannya, Maha Suci Engkau yang tasbih itu khas buatMu, Maha Suci Engkau yang memiliki kemuliaan dan pemurah, Maha Suci Engkau yang memiliki keagungan dan ketinggian.

(Hadith riwayat At-Tarmizi no 3341)

Wednesday, April 14, 2010

Tinta dan coretan sebagai nasihat buatku, buatmu dan semua






Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum wbt...


TINTA BUAT BAKAL SUAMI

Assalammualaikum wrt wbt.
Buatmu,
Bakal suamiku..


Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang khusus buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang. Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untuk suamiku, iaitulah dirimu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini. Aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku sering sahaja berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku menyangka buruk terhadap mereka, tetapi lebih baik aku berjaga-jaga kerana contoh banyak di depan mata. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, akan aku buat ‘expressionles face’ dan ‘cool’. Akan aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Fatimah R.A ;
“sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”
Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati. Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan.
Bagaimana akan aku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal?
Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?
Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntut Allah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik.
Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?
Tidak dapat aku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.



Diriku yang sememangnya lemah ini diuji Allah apabila seorang lelaki secara tidak sengaja mahu berkenalan denganku. Aku secara keras menolak, pelbagai dalil aku dikemukakan, tetapi dia tidak mahu mengalah. Lelaki itu tidak hanya berhenti di situ. Dia sentiasa menghubungi dan menggangguku. Aku berasa amat tidak tenteram, seolah-olah seluruh hidupku yang ceria selama ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kau kurasa seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hati, ‘woman intuition’ku yang mengatakan lelaki itu bukan kau. Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak. Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi.


Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan aku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku. Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga. Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Dariku,
Bakal isterimu

CORETAN UNTUK BAKAL ISTERI...

Assalamualaikum wrt. wbt.
Untukmu,
Bakal isteriku..

Tangan ini mula menulis apa yang telah dikarangkan oleh hati ini di dalam kalbu. Aku mula tertanya-tanya adakah aku sudah seharusnya mula mencari sebahagian diriku yang hilang. Bukanlah niat ini disertai oleh nafsu tetapi atas keinginan seorang muslim mencari sebahagian agamanya. Acap kali aku mendengar bahawa ungkapan "Kau tercipta untukku."
Aku awalnya kurang mengerti apa sebenarnya erti kalimah ini kerana diselubungi jahiliyah. Rahmat dan hidayah Allah yang diberikan kepada diriku, baru kini aku mengerti bahawa pada satu hari nanti, aku harus mengambil satu tangungjawab yang sememangnya diciptakan khas untuk diriku, iaitu dirimu. Aku mula mempersiapkan diri dari segi fizikal, spiritual dan juga intelektual untuk bertemu denganmu.
Aku mahukan pertemuan kita yang pertama aku kelihatan 'sempurna' di hadapanmu walaupun hakikatnya masih banyak lagi kelemahan diri ini. Aku cuba mempelajari erti dan hakikat tanggungjawab yang harus aku galas ketika dipertemukan dengan dirimu. Aku cuba membataskan perbicaraanku dengan gadis lain yang hanya dalam lingkaran urusan penting kerana aku risau aku menceritakan rahsia diriku kepadanya kerana seharusnya engkaulah yang harus mengetahuinya kerana dirimu adalah sebahagian dariku dan ianya adalah hak bagimu untuk mengetahui segala zahir dan batin diriku ini.
Apabila diriku memakai kopiah, aku digelar ustaz. Diriku diselubungi jubah, digelar syeikh. Lidahku mengajak manusia ke arah makruf digelar daie. Bukan itu yang aku pinta kerana aku hanya mengharapkan keredhaan Allah. Yang aku takuti, diriku mula didekati oleh wanita kerana perawakanku dan perwatakanku. Baik yang indah berhijab atau yang ketat bert-shirt, semuanya singgah disisiku. Aku risau imanku akan lemah. Diriku tidak dapat menahan dari fitnah ini. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Aku tidak meninggalkan setelahku fitnah yang lebih bahaya untuk seorang lelaki melainkan wanita."

Aku khuatir amalanku bukan sebulatnya untuk Rabbku tetapi untuk makhluknya. Aku memerlukan dirimu untuk menghindari fitnah ini. Aku khuatir kurangnya ikhlas dalam ibadahku menyebabkan diriku dicampakkan ke neraka meninggalkan kau seorang diri di syurga. Aku berasa bersalah kepada dirimu kerana khuatir cinta yang hak dirimu akan aku curahkan kepada wanita lain. Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah tanam dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehkan diriku. Sukar untuk mencari solehah dirimu andai solehku tidak setanding dengan ke’solehah’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu. "Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik."
Jiwa remaja ku ini mula meracau mencari cinta. Matang kian menjelma dan kehadiran wanita amat terasa untuk berada di sisi. Setiap kali aku merasakannya, aku mengenangkan dirimu. Di sana engkau setia menunggu diriku, tetapi di sini aku curang kepadamu andai aku bermain dengan cinta fatamorgana. Sampaikan doamu kepada diriku agar aku dapat menahan gelora kejantananku disamping aku mengajukan sendiri doa diperlindungi diri.
Bukan harta,rupa dan keturunan yang aku pandang dalam mencari dirimu. Cukuplah agama sebagai pengikat kasih antara kita. Saat di mana aku bakal melamarmu, akan ku lihat wajahmu sekilas agar mencipta keserasian diantara kita kerana itu pesan Nabi kita. Tidak perlu alis mata seakan alis mata unta, wajah bersih seakan putih telur ataupun bibir merah delima tetapi cukup cuma akidah sekuat akar, ibadah sebagai makanan dan akhlak seindah budi.
"Kahwinilah isteri kerana empat perkara; keturunan, harta, rupa dan agama. Dan jika kau memilih agama, engkau tidak akan menyesal.” Jika aku dipertemukan dengan dirimu, akan ku jaga perasaan kasih ini supaya tidak tercurah sebelum masanya. Akan ku jadikan syara’ sebagai pendinding diri kita. Akan ku jadikan akad nikah itu sebagai cop halal untuk mendapatkan dirimu. Biarlah kita mengikuti nenek moyang kita, Nabi Adam dan Siti Hawa yang bernikah sebelum disatukan agar kita dapat menikmati kenikmatan perkahwinan yang menjanjikan ketenangan jiwa, ketenteraman hati dan kedamaian batin. Doakan diriku ini agar tidak berputus asa dan sesat dalam misi mencari dirimu kerana aku memerlukan dirimu untuk melengkapkan sebahagian agamaku.

Dariku,
Bakal suamimu.

Dipetik daripada sepaku.net
I luv Islam..

Peringatan untuk diri sendiri dan perkongsian bersama...Mohon terus menegur dan memberi nasihat buat diri yang sering leka dan alpa ..

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada ALLAH dan berimanlah kepada RasulNya, nescaya ALLAH memberikan rahmatNya kepadamu dua bahagian dan manjadikan cahaya untukmu yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan serta Dia mengampuni kamu , dan ALLAH Maha Pengampun dan Maha Penyayang.."
Surah Al-Hadid, 28.

Wallahu'alam...




Sunday, February 28, 2010

Kami merinduimu ya Rasulullah..

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...
Alhamdulillah, syukur ke hadrat ALLAH swt kerana dengan izinNya, masih diberi ruang dan peluang untuk menjenguk blog yang sekian lama terbiar..mohon maaf atas segala kesulitan dari pihak ana...
Saban tahun kita meraikan sambutan maulidur rasul dengan penuh kesyukuran dan penghayatan di seluruh dunia pada setiap 12 rabiul awal tidak kira di mana, sama ada di kampung2 ataupun di bandar2..Selawat dan salam bergema di merata-rata tempat dengan muslimin dan muslimat berpakaian indah berarak dari satu tempat ke tempat yang lain. Sungguh damai dan tersentuh hati meraikannya..
Mudah-mudahan dengan sambutan yang dibuat menjadikan kita sebagai masyarakat Islam yang rindu dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan merasai betapa agungnya keperibadian baginda sehingga dapat menyampaikan ajaran ALLAH walaupun menghadapi banyak cabaran dan dugaan yang terlalu perit untuk diterima bersama-sama pejuang2 ISLAM yang terdahulu..
Janganlah kita hanya merasai dan menghayati sirah Rasulullah ini ketika sambutan maulidurrasul sahaja tapi biarlah berterusan hingga terzahir pembuktian kecintaan kita kepada baginda rasulullah melalui usaha-usaha kita mengamalkan ajaran baginda dan meneruskan usaha dakwah baginda hingga ke akhir hayat kita, insya ALLAH..
Walau siapa pun kita, di mana posisi kita, tahap ilmu kita, pekerjaan kita, taraf hidup kita, sememangnya menjadi tanggungjawab kita sebagai umat baginda untuk mendaulat dan menyokong syariatNya yang telah dibawa oleh baginda. Itulah matlamat kita sebenarnya. Usahlah dicari matlamat hidup lain yang menjauhkan kita daripada matlamat asal ini agar kita sentiasa dalam redha dan rahmat kasih sayang ALLAH sepanjang hidup kita..
Teringat kembali di saat-saat baginda ingin menghembuskan nafasnya yang terakhir, walaupun dalam keadaan sakit yang tidak terhingga, baginda masih mendoakan umatnya agar diringankan kesakitan sakaratul maut dengan baginda ingin menanggungnya sendirian. Masya ALLAH..sungguh mulianya hati mu wahai Rasulullah..Namun kita kini, dengan sewenang-wenangnya melupakan baginda, tidak ingin mengingati baginda walaupun hanya dengan ucapan selawat apatah lagi meneruskan perjuangan baginda..hanya mengingati baginda semasa sambutan maulidur rasul sahaja...Astaghfirullahalazhim..maafkan kami ya Rasulullah..kami malu kepada mu...layakkah kami menerima syafaatmu di akhirat kelak? Kematian itu memedihkan bagi seorang kekasih ALLAH. Apa pula keadaannya dengan kita yang bergelumang dengan maksiat?
Kami merinduimu ya Rasulullah...Hilangmu tiada pengganti hingga kini..hanya AlQuran dan As-Sunnah peninggalanmu pengubat hati..Akan kami pertahankan sedaya upaya kami..Sebagai bukti kecintaan kami kepada mu, duhai kekasih ALLAH... Doakan kami, bantulah kami, berilah syafaatmu kepada kami di akhirat kelak..