Thursday, May 31, 2012

Subhanallah, indahnya bidadari syurga itu...

Bismilllahirrahmanirrahim… Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Syurga merupakan tempat ALLAH melimpahkan seluruh sifat jamal dan rahmahNya kepada makhluk. Perbincangan tentang kenikmatan syurgawi tidak akan sempurna tanpa membahaskan kecantikan bidadari-bidadari yang terdapat di dalamnya. Mereka ialah makhluk-makhluk yang sangat sempurna kejadian dan akhlaknya, ALLAH ciptakan khas untuk menjadi pasangan hamba-hamba yang bijak mengawal hawa nafsu selama di dunia ini. Iaitu orang yang selalu menjaga tubuhnya daripada maksiat kerana mengharapkan keredhaan ALLAH swt.
“Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu dalam kesibukan bersenang-senang. Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, berbaring/bersandar di atas dipan-dipan. Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta. “Salam” itulah ucapan daripada Tuhan yang Maha Penyayang.” (Surah Yasin:55-58). Apabila kita renungkan pelbagai nas yang menceritakan bidadari syurga ini, kita akan dapati bahawa mereka ialah makhluk yang terlalu sempurna untuk dijangkau imaginasi manusia yang terbatas. Kecantikan, kejernihan, kelembutan dan kewangian tubuh mereka mengatasi wanita manapun di muka bumi ini.
ALLAH menyebut mereka dengan panggilan “hur al-ain”, iaitu wanita yang berkulit putih dan bermata lebar dengan bola mata yang sangat cantik. Begitu indah dan jernihnya tubuh mereka seakan-akan mereka itu adalah permata yakut dan marjan.” (Surah Ar-Rahman:58). Dalam hadith al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Andai seorang wanita syurga menampilkan diri kepada penduduk dunia, nescaya teranglah apa yang ada diantara kedua-duanya dengan wangian. Tudung yang menutup kepalanya lebih indah daripada duniadan seisinya.”
Suara mereka pun begitu indah dan menawan hati. Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ali Bin Abi Talib, sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “ Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah tempat pertemuan untuk para bidadari mengangkat suara mereka dengan nyanyian. Tidak pernah seorang makhluk mendengar suara yang lebih indah daripada suara mereka..”(Hadith gharib)
Kecantikan dan keindahan luar biasa ini dimahkotakan dengan hati yang penuh cinta sebagaimana firman ALLAH SWT , “Uruban ‘atraban (penuh cinta lagi sebaya umurnya).” (Surah Al-Waqi’ah:37) Menurut Ibn Abbas, ‘uruban ertinya para bidadari ini sangat merindui dan mencintai suami-suami mereka. Mereka sering berkata, “Demi ALLAH, tidak ada di dalam syurga ini sesuatu yang lebih indah daripada engkau. Demi ALLAH, tidak ada di dalam syurga ini sesuatu yang lebih aku cintai daripada engkau.” Demikian sebagaimana dinyatakan dalam hadith panjang riwayat Abu Ya’la daripada Abu Hurairah. ‘Atraban pula bermaksud, usia para bidadari ini sebaya dengan usia suami mereka. Hampirnya usia sesuatu pasangan merupakan salah satu factor terpenting yang mengeratkan cinta dan kasih saying antara kedua-duanya.
Namun begitu, secantik manapun para bidadari ini, wanita-wanita mukminat jauh lebih cantik daripada mereka, iaitu mereka yang membasuh mukanya setiap hari dengan air wuduk, melaksanakan solat dan taat kepada suaminya demi mencapai keredhaan ALLAH. Hal ini telah dinyatakan ALLAH dalam firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan mereka dengan penciptaan baru. Dan kami kembali menjadikan mereka gadis-gadis rupawan. (Surah Al-Waqi’ah:35-36). Mereka akan mengetuai bidadari-bidadari dan bersama dengan suaminya semasa di dunia. Hal ini menunjukkan bahawa cinta yang terjalin kerana ALLAH dan mengharapkan redha Ilahi tidak akan berakhir dengan kematian, akan tetapi akan terus menyala dan hidup kekal di dalam syurga abadi.
Wallahu’alam. -Solusi 24-

Tuesday, May 29, 2012

Bahagia?

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Bagaimana mencari bahagia menurut Al-Quran dan Sunnah?
1. Beriman dan beramal soleh. " Sesiapa yang beramal soleh baik lelaki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan." (Surah al-Nahl:97).
Ibn'Abbas r.a meriwayatkan bahawa segolongan ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik ialah rezeki yang halal dan baik (halalan toiyibah). Saiyidia Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qanaah (berasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibn 'Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu ialah kebahagiaan.
2. Banyak mengingati ALLAH. Dalam berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah-gulana. Firman ALLAH:"Ketahuilah dengan mengingati ALLAH maka hati akan menjadi tenang." (Surah al-Ra'd:28).
3. Bersandar kepada ALLAH. Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. ALLAH berfirman, bermaksud:" Sesiapa yang bertawakal kepada ALLAH maka ALLAH akan mencukupkannya." (Surah Al-Talaq:3).
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik. Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada ALLAH akan memberi ketenangan hati. Firman ALLAH, yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan antara manusia. Barangsiapa melakukan hal itu kerana mengharapkan keredhaan ALLAH, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar." (Surah An.Nisa':114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam. Fikir tetapi jangan khuatir . Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah saw bersabda maksudnya: " Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada ALLAH dan janganlah lemah. Apabila menimpaakan sesuatu (daripada perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata:"Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu." akan tetapi katakanlah: "ALLAH telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan." keran sesungguhnya kalimat 'seandainya' itu membuka kepada amalan syaitan." (Hadis Riwayat Muslim).
6. Melihat kelebihan dan kekurangan sebagai anugerah. Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan duniamisalnya dalam kekurangan rezeki kerana dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat ALLAH yang diberikan ALLAH kepada kita. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:"Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan melihat ke bawah lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat ALLAH yang dilimpahkanNya kepada kamu." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
7. Jangan mengharap ucapan terima kasih manusia. Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada ALLAH. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada antara hukama berkata, "sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa."
SOLUSI 6.

Monday, May 28, 2012

Lukisan alam ciptaanMu

LUKISAN ALAM
*Hidup tidak selalunya indah Langit tak selalu cerah Suram malam tak berbintang Itulah lukisan alam
**Jadilah rumpun nan lemah lembut Tak luruh dipukul ribut Bagai karang di dasar lautan Tak terusik dilanda badai
Dalam senang hitunglah kesyukuranmu Dalam tenang buangkanlah amarahmu Suburkanlah sifat sabar dalam jiwamu itu
*diulang
Hasbiallah Hasbunallah Hasbirabbi Jalallah YA ALLAH
**diulang
-Lukisan alam,Hijjaz-

Sunday, May 27, 2012

Kelemahan itu suatu kehebatan

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh... Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (QS. Ibrahim [14]:7) Kebiasaannya, bila kita di kurniakannikmat rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan, apa yang kita akan lakukan? Bersyukur! ya, itulah yang seharusnya. Tetapi, bagaimana pula kalau kita diberikan kekurangan, kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. Berapa ramai yang ingin bersyukur? Tepuk dada, tanya Iman. Saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur apabila menerima ujian. Mungkin dalam 100% hanya 5% yang bersyukur dan berlapang dada apabila menerima ujian. Beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan. Fiman Allah: "Mereka yang sabar dalam musibah, kemiskinan dan ketika peperangan. Merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa - memelihara dirinya dari kejahatan." (QS al-Baqarah : 177) Saya pasti kalian pernah mendengar kata-kata ini: "After every storm there is a rainbow" Jadi, walau apa pun ujian yang diturunkan kuatkan semangat dan azamkan tekad. Yakinlah dengan janji Tuhan. Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat asal hidup mendapat Berkat. Fikirkan, setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. Begitu juga sebaliknya. Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan lemah dan tidak sempurna. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri, kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan kelebihan tertentu. Ingatlah, Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri dengan cara saling lengkap melengkapi. Seperti yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan begitulah sebaliknya. Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. Janganlah kita mencaci kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu. Kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa. Dan ingatlah, Setiap kekurangan yang kita miliki, merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujian itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita? Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaanya. Kebaikan mahupun keburukan. "Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al Anfaal:46] Kesimpulannya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaan-Nya. - Artikel iluvislam.com

Saturday, May 26, 2012

Sekali Wanita Tergoda, gugurlah sekuntum wardah di Syurga, Sekali wanita ternoda, berdekahlah syaitan di neraka.

Bismillahirrahmanirrahim... Selawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta ahli keluarga baginda... Rasulullah saw dan generasi itu telah tiada. Lama sudah mereka berlalu meninggalkan kita. Muhammad, kekasih ALLAH. Baginda berjalan selangkah demi selangkah, meniti hari. Bermula daripada seorang diri , menyampaikan dakwah secara sembunyi-sembunyi. Bukannya Baginda tidak berani dan takut mati, namun itulah tertib wahyu ketika itu, strategi Rabbi. Ucapan baginda tidak lahir dari nafsu melainkan wahyu suci. Ucapan yang hikmah dari kalbu yang jernih disambut oleh hati yang bersih dan jiwa yang fitri. Dimulai mengajak manusia kepada Islam dengan menjernihkan fikrah, pendekatan akal, pemahaman dan menyentuh hati sanubari. Juga dengan jalan hujah dan keterangan, dengan hikmah dan pengajaran penuh seni. Apabila ada perdebatan, dirungkaikan dengan baik dan menambat hati. Apabila mendapat tekanan, rintangan serta siksaan berlaku dengan sabar dan melontarkan doa kasih nan sejati.Seperti firman ALLAH dalam Surah An-Nahl: 125), " Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk." Dengan rahmat dan kurnia ALLAH, seorang demi seorang ikut menyertai, dari golongan bangsawan mulia hingga hamba sahaya tidak mahu terkecuali. Lalu terbentuklah jemaah Islam pertama, iaitu jemaah Rasulullah dan pada sahabat baginda. jemaah batu ini masih sangat kecil dan merupakan ghuroba' (orang-orang yang asing) di Mekah, kota kelahiran baginda sendiri. Golongan ghuroba' inilah yang kelihatan berjalan perlahan-lahan dan lambat, akhirnya menjadi kelompok yang mulia, gah, izzah dan menjadi generasi terbaik umat ini. mereka tidak punya apa-apa melainkan jiwa yang sarat keyakinan bahawa janji ALLAH itu pasti! Biarpun sehebat mana rintangan, jalan dakwah terus berkembang dan panjinya berkibar tinggi. jalan dakwah inilah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sehingga Islamlah seluruh jazirah Arab, demikian pula Parsi dan Romawi, mencabut jahiliyyah dari akar umbi. Ingatlah bahawa Islam itu berputar, maka berputarlah kamu bersama Islam kemana sahaja ia berputar. Ketahuilah bahawasanya penguasa dan Al-Quran akan berpisah, maka janganlah kamu berpisah dari AL-Quran.Demikian sabda Rasulullah saw.. Dalam langkah hidup ini, hanya ada dua jalan yang salah satunya perlu ditempuhi. Kita yang memilih jalan kita sendiri. kalau kita tidak memilih jalan menuju ALLAH, pasti kita akan melangkah di jalan yang menuju kecelakaan diri sendiri itulah jalan syaitan, nafsu, syahwat dan duniawi. Jalan keimanan itulah jalan ilahi dan jalan kesesatan itulah jalan iblis yng terkutuk. Orang yang berjalan di atas jalan Ilahi sentiasa berusaha mensucikan jiwa dan hati sementara orang yang berjalan di jalan Iblis laknatullah, tiada sensitiviti dalam mengotori dan menodai iman. Masing-masing berusah dan masing-masing bergerak, meniti waktu dan hari, mendekati mati. Akhirnya masing-masing menghadap Ilahi. Sudah tentu di sana, ada perbezaan antara keduanya di alam abadi. Tanyalah diri, mahukah kita mencampakkan diri ke lembah kehinaan pada saat bertemu Rabbi? Atau meletakkan diri ke darjat yang tinggi? Sudah tentu jawapan kita, kita mengimpikan tempat di sisi Ilahi. Namun, adakah sama orang yang sekadar berangan-angan tetapi tidak mempunyai persiapan yang serius untuk menghadapnya? Berapa ramai orang yang sanggup menjual harta dan dirinya demi membela redha ALLAH? Sungguh, manusia lupa saat perjumpaan itu. Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib) kali kedua, hati-hati yang jernih fikrahnya menjadi ghuroba'. Golongan ini sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan demi tapisan dari Ilahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar ikhlas kepadaNya. Adalahamalan dan akhlak kita melayakkan diri kita termasuk dalam golongan ghuroba' ini? Mungkinkah kelalaian kita yang beterusan ini akan menyebabkan kita turut tertapis dari jalan ini? na'uzubillah... Ya ALLAH, bantulah kami untuk tetap layak berada di atas jalanMu. Jangan sesekali kau tapis kami dari jalanMu kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubat hati dan mengubah sahsiah diri, amin... Dipetik dari Tautan Hati, Fatimah Syarha)

Friday, May 25, 2012

Kehidupan ini ketentuanNya jua

Bismillahirrahmanirahim... Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh... Terdetik di hati ini untuk meneruskan coretan hati di laman kenangan yang sedikit sebanyak memberikan inspirasi pada diri ini untuk meneruskan hari-hari yang mendatang.. Bukan untuk menunjukkan kehebatan diri atau kelemahan diri kepada orang lain namun biarlah ianya menjadi guru yang mengajar erti kehidupan...biarpun sedikit, menyeronokkan, membosankan, dan sebagainya..biarkan ia berlalu dan bersedialah untuk yang akan datang... Oleh yang demikian, kita sentiasa memerlukan petunjuk dan bantuan ALLAH agar kita dapat mencapai kejayaan yang sesuai dengan kehendak ALLAH dan keperluan peribadi... Kehidupan ini memang tidak sunyi daripada masalah sehingga tidak terlepas dari melakukan kesilapan...Orang yang beriman, menyerahkan urusannya kepada ketentuan ALLAH setelah berusaha sesungguhnya...Dia benar-benar yakin perkara yang dipilih dan ditentukan oleh ALLAH baginya adalah yang terbaik... Apabila ALLAH memudahkan urusan itu baginya, dia sedar terdapat kebaikan dalam urusan tersebut, sebaliknya apabila ALLAH menjauhkan ataupun menyukarkan urusan itu, dia juga sedar ada kebaikan dalam kegagalan itu... ALLAH yang mengajar manusia tentang perkara yang tidak mereka ketahui. Hanya AALAH yang mampu memberi kekuatan, memberi petunjuk, membimbing dan memudahkan manusia mengatasi segala bentuk kesukaran. Disebabkan itu, kita wajib memohon kepadaNya... Dia yang Maha Mengetahui berkaitan perkara yang terbaik buat para hambaNya... Apabila ALLAH memilihkan yang terbaik dengan ilmuNya, membantu dengan kekuatanNya dan memudahkan dengan kurniaNya, si hamba perlulah juga meminta supaya dirinya redha dengan pilihanNya.. Ini kerana ALLAH memilih yang terbaik baginya..Hanya ALLAH yang memiliki kurnia yang agung, menganugerahi, menguamakan dan memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya..Segala kesempurnaannya itu yang diperkukuh melalui hati dan ucapan semasa mengabdikan diri padaNya... Pada masa yng sama juga,orang yang beriman itu juga perlu berusaha selaras dengan syariatNya...Dia juga peru berusaha dengan gigih dengan menggunakan segala cara yang ada yang dibenarkan syariat... Demikianlah sedikit renungan buat diriku jua dikongsikan untuk tatapan bersama... Semoga ianya bermanfaat untuk kita bersama,insya ALLAH.... Wassalam..

Saturday, May 19, 2012

Coretan Hati

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh... Alhamdulillah. syukur yang tidak terhingga ke hadrat ALLAH SWT kerana telah memberi sedikit kekuatan untuk mengisi ruang dan peluang yang ada menulis blog saya yang sudah lama menyepi... Dengan rasa rendah hati dan rendah diri, saya memohon maaf diatas kelemahan saya mengemaskini blog ini... Terasa kerdil diri ini bila mengenangkan kelemahan dan kekurangan ini yang tidak mampu mengamalkan apa yang telah dinukilkan sebelum ini... Mohon keampunan dari ALLAH, semoga tidak mendapat kemurkaanNya... Setakat ini, saya hanya mampu memperbaiki diri dan menganalisis kemampuan diri yang terbatas dan kesalahan serta kesilapan lalu yang telah dilakukan sama ada sedar mahupun tidak... Sesungguhnya setiap kenangan yang pernah hadir amat dihargai dan disyukuri kerana sesungguhnya semua yang berlaku adalah perjalanan hidup seorang hamba yang telah ditentukan oleh PenciptaNya yang terbaik untuk setiap hambaNya, insya ALLAH... Seringkali diri ini diuji dengan cabaran dan dugaan yang silih berganti, namun semuanya adalah sebagai sapaan kasih sayang dan kemesraan daripada ALLAH yang merindui hambaNya... Setelah sekian lama menyepi, terdetik hati ini untuk menilai sejauhmana ilmu yang diperolehi ketika belajar dahulu dapat menjadikan saya sebagai seorang manusia dan hamba ALLAH yang solehah? Risau juga sekiranya penilaian saya terhadap diri sendiri kini sebenarnya jauh terpesong dari kehendakNya, na'uzubillah... Saya berharap sangat semoga sumbangan saya yang walaupun kecil sahaja ini mendapat nilaian yang besar di sisi ALLAH, insya ALLAH... Kerja saya hanyalah sebagai seorang guru sementara di salah sebuah madrasah, alhamdulillah, memadai untuk kemampuan saya setakat ini..semoga ALLAH mempermudahkan semua urusan saya dan anda semua walau di bidang mana sekalipun untuk mencari keredhaan ALLAH... Pengalaman yang diperolehi sepanjang diri ini menyepi diharap bukanlah alasan utama untuk saya melepaskan diri daripada tanggungjawab sebagai seorang islam, walaupun hanya di sekitar rumah dan madrasah...yakinlah bahawa biar sedikit tapi istiqomah itulah yang terbaik, insya ALLAH...Berhadapan dengan karenah adik2 yang comel ini sememangnya menyejukkan dan menyenangkan hati bagi saya yang baru berada di medan pendidikan kanak-kanak kecil..setelah menimba pengalaman di beberapa madrasah lain, kini saya serasi dengan madrasah ini..syukur alhamdullah..keluarga pun tidak mempunyai masalah sangat dengan kerja saya, jadi saya dapat menjalankan tugas saya dengan tenang, alhamdulillah... Baiklah, saya nak kongsi sedikit pengalaman saya semasa di madrasah. Pada mulanya saya agak kekok dan tertekan dengan suasana baru di tempat kerja, biasalah, saya tidak mahir dalam mengurus pelajar kanak-kanak yang pelbagai karenah dan latar belakang..dan saya juga tidak pernah mengikuti kursus menjaga budak.. Namun, berkat keprihatinan adik saya yang juga mengajar di tempat yang sama, sahabat-sahabat dan ustazah di tempat kerja, mereka banyak memberi sokongan dan bimbingan kepada saya untuk meneruskan kerjaya saya ini...pengalaman yang sungguh berharga buat saya, alhamdulillah.. Berhadapan dengan kanak-kanak memang memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi agar kanak-kanak dapat dibimbing dan dibentuk dengan acuan terbaik, iaitu acuan Al-Quran..Memang bukan tugas yang mudah dan dalam masa yang singkat tapi memerlukan tempoh yang lama untuk melihat hasilnya, sebab itulah saya perlu belajar untuk mengajar dan mendidik serta membimbing dengan sabar,insya ALLAH... Setakat itu dulu coretan hati untuk kali ini, walaupun tidak ada apa-apa namun bersyukurlah atas apa yang ada... Mohon doa semua ya, semoga saya dapat menjadi seorang pendidik yang berjaya mendidik diri sendiri dan orang lain, amin..