Wednesday, July 28, 2010

Maha Suci ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT dengan izin dan kasih sayangNya, ALLAH sudi memberikan peluang pada diri ini untuk menukilkan perkongsian yang dipetik dari mana-mana artikel untuk perkongsian bersama..


Istimewa hadiah daripada ALLAH adalah peluang untuk merasai nikmat keindahan IMAN dan ISLAM dalam hidup ini
Ketahuilah sesungguhnya ALLAH SWT pasti memberikan cubaan padamu. Dia akan menguji hakikatmu. Benar-benar seperti yang pernah dinyatakannya dalam Al-Quran dengan firmanNya
Alif Lam Mim. Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa Kami telah beriman dan sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. (Surah Al-Ankabut: 1-3


Orang yang paling berat dicuba ialah para Nabi, kemudian yang paling baik selepasnya, kemudian orang yang paling baik selepas itu.


Sesungguhnya ALLAH SWT apabila mengasihi sesuatu kaum, dicubanya mereka itu (dengan berbagai-bagai cubaan), barangsiapa yang rela dengan cubaan itu maka mereka mendapat kerelaanNya. Barangsiapa yang benci (marah) maka baginya kemurkaan ALLAH SWT

(Fathi Yakan, 2007).


Gunakanlah prinsip: Ujian hidup ialah satu didikan langsung daripada ALLAH, insya ALLAH kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Percayalah, ALLAH mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian maupun cercaan. Apabila bertemu kesusahan, ALLAH mendidik kita tentang sabar. Apabila kesenangan bertamu, ALLAH mengajar kita erti kesyukuran. Apabila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi apabila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, ALLAH mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.


Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah dengan orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu. Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud di sebalik takdir-takdir ALLAH itu. Dengarlah suara tarbiyah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi ALLAH, apa yang ditakdirkanNya pasti satu kebaikan. Carilah kebaikan itu. Jangan mengeluh apabila kita tidak berjaya seperti insan-insan lain. Jika kita terus mengeluh, kaki kita akan melekat selamanya di anak tangga ujian itu. Kita tidak akan meningkat lebih tinggi. Terimalah dengan pasrah, tetapi jangan sekali-kali berputus asa dengan ALLAH. Hati tunduk akur berteman sabar namun akal ligat berputar mencari jalan keluar



Jangan memberontak, asyik mempersoalkan mengapa dan kenapa,namun kita tidak dapat mengubah realiti. Bukankah takdir akan sentiasa mengatasi tadbir? Tunduk dan akurlah pada takdir dengan mengatur sebaik-baik tadbir. Sebaik-baik jalan, terimalah seadanya. Ya, itu telah berlaku, ya ..itulah keadaannya...Tidak kira bagaimana keadaannya sekalipun, kita tetap hamba ALLAH. Jangan cuba 'jadi Tuhan' walaupun pada kehidupan kita sendiri



Hapuskanlah dendam, iri hati dan marah yang bersarang dalam jiwa. Kemaafan membuahkan kebaikan. Kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan menjadi semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan. Belajarlah sesama insan, nescaya kita akan terasa kesan didikanNya


(Telaga Biru, 2009).


Aliran ilmu umpama aliran air. Air sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Lebih rendah sesuatu tempat itu, maka semakin banyaklah air yang bertakung di situ. Maka, lembah dan lurah sering bertukar menjadi tasik, sungai dan ngarai. Maka begitu ilmu, perlu 'ditakung' dengan hati yang merendah diri. Semakin tawaduk seseorang, semakin banyak ilmu yang bakal dimiliki dan diwarisinya.


Ya,begitulah jua adab kita belajar dengan kehidupan ini. Jika merendah diri, kita boleh belajar hampir dengan semua orang, keadaan dan peristiwa. Teringat kata Luqman Al- Hakimketika ditanya bagaimana dia mendapat hikmah? Dia menjawab, "Aku belajar hikmah daripada orang yang dungu. Jika dia melakukan sesuatu, maka aku tidak akan melakukannya." Luqman menjadikan si jahil sebagai 'gurunya' yang mengajar erti sempadan pada percakapan dan tindakan. Apabila kita sentiasa ingin dan bersedia untuk belajar, maka akan muncul 'guru-guru' yang mahu mengajar kita.Bergurulah dengan pengalaman hidup sendiri. Sesetengah ilmu perlu 'dirasai' baru boleh difahami, dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan.


Jangan kesal jika kita tersalah pada masa lampau. Melakukan kesalahan dan kesilapan adalah bukti kita masih manusia. Oleh itu, sebaik mendapat pengajaran daripadanya, lupakan dan tumpukan ke masa depan. Sesiapa yang tidak memandang ke depan akan sentiasa tertinggal di belakang. Masa akan terus berlalu. Apa yang penting, gunakan pengajaran masa lampau untuk 'mengemaskini' masa kini dan merancang masa depan.
Jangan pula berbangga jika kita dalam kebenaran. Kerana, tidak ada jaminan kita akan seterusnya benar sepanjang hayat. Sering diperingatkan, kejayaan hari ini boleh menjadi musuh kepada kejayaan hari esok. Jagalah kebenaran yang kita miliki dengan selalu memohon hidayah dan taufik dari ALLAH. Ingatlah kata-kata ulama, dosa yang menyebabkan kita menangis kerana bertaubat dan takutkan ALLAH adalah lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur. Renungilah ya..


Belajarilah 'menikmati' keikhlasan dengan rasa ingin membuat kebaikan tanpa dilihat oleh orang lain. Kekadang gelanggangnya hanya sekangkang kera, namun peranannya seluas maya pada. Adakalanya pangkat mereka cuma kuli biasa, namun jasanya mengatasi hartawan, bangsawan dan sarjana.


(Pahrol, 2009)


Terlalu hebat percaturan ALLAH. Semua ketentuanNya adalah atas rasa kasih dan sayangNya pada kita. Boleh jadi herba yang pahit adalah penawar bagi penyakit dan gula yang manis menjadi punca kepada penyakit. Dalam hidup ini, hendaklah kita sentiasa bernaung di bawah lindungan ALLAH SWT, terus berhubung denganNya, bertawakal padaNya, berpegang kepada kitabNya dan mengikuti RasulNya. ALLAH SWT telah berfirman, "Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. ALLAH mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah:216) dan ALLAH berfirman lagi...mereka merancang, ALLAH jua merancang, sebaik2 perancang adalah ALLAH jua..SubhanALLAH..


TAKUTKAN ALLAH, MEMBAWA DIRI DAN HATI DEKAT PADANYA
HIDUP INI INDAH JIKA SEGALANYA KERANA ALLAH


Pesan pada diri
Teguhkan ketetapan hati
Kukuhkan akidah Islami
Hidup sebagai Abdi
Hiasi peribadi
Dengan akhlak para nabi
Ingat janji Rabbi
Kasih dan Redha Ilahi
Insya ALLAH pasti mengiringi

Tuesday, July 20, 2010

Hadith pilihan kali ini

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
HADIS 35

Hadis diriwayatkan oleh al-lmam Muslim.

Daripada Abu Hurairah r.a. beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:

Janganlah kamu saling dengki mendengki, tipu menipu, benci membenci, belakang membelakangi antara satu sama lain. Janganlah sebahagian kamu menjual barangan atas jualan orang lain. Hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya. Ketaqwaan itu di sini - sambil Baginda menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali -
Cukuplah seseorang itu mendapat keburukan apabila dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap orang muslim ke atas muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya.

Pengajaran hadis:

(1) Hadis ini menganjurkan satu cara hidup bermasyarakat yang pasti membawa kepada keharmonian
hidup, iaitu cara hidup yang mempamerkan keluhuran budi dan kemuliaan akhlak.

(2) lslam melarang umatnya dari saling hasad dengki, tipu menipu, benci membenci dan pulau
memulau kerana semua sifat ini adalah sifat buruk yang hanya akan membawa kepada kerosakan, huru-hara dan perpecahan dalam masyarakat. Masyarakat akan hancur sekiranya setiap anggota mempunyai sifat-sifat buruk seumpama ini.

(3) lslam juga melarang seseorang memotong jual beli saudaranya sehingga dia selesai membuat
keputusan sama ada mahu meneruskan jual beli tersebut atau membatalkannya. Apabila jual beli itu dibatalkan, maka bolehlah dia menawarkan diri untuk berurus niaga. Etika ini diajar oleh lslam demi memelihara hubungan persaudaraan sesama muslim agar tidak timbul permusuhan akibat perbuatan memotong urusniaga orang lain.

(4) Umat lslam digesa hidup sebagai hamba Allah yang bersaudara dengan masing-masing menunaikan hak saudaranya dengan sempurna. Antara hak saudara seagamanya ialah bahawa dia tidak menzaliminya, tidak membiarkannya dihina, tidak membohonginya dan tidak mencerca atau menghinanya. Cukuplah seorang mukmin mendapat kecelakaan apabila dia suka menghina saudaranya.

(5) Taqwa adalah perkara tersembunyi yang ada di dada seseorang, ia bukannya suatu perkara yang boleh didakwa. Taqwa tidak seharusnya didakwa-dakwa bahkan ia adalah perkara tersembunyi di dada, namun ia dapat dikesan berdasarkan amalan seseorang kerana seorang yang bertaqwa hanya akan melakukan amalan soleh dan berakhlak mulia.
Wallahu'alam..
Marilah kita bersama-sama ambil iktibar daripada hadis ini, insya ALLAH..

Wednesday, July 14, 2010

Janji ALLAH pasti datang walau tanpa diduga


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Innalillahi wainna ilaihi raji'un..

Kepada ALLAH kami datang dan kepada Nya kami kembali..


Bukti kekuasaan ALLAH yang Maha Perkasa dan Maha Berkehendak, tiada siapa mampu menahan..
ALLAH lebih menyayangimu..


Pemergianmu yang tidak siapa menduga

Kehilanganmu sukar dicari ganti

Kebaikan dan jasamu sentiasa dalam ingatan setiap insan yang mengenalimu
Ilmu mu yang menggunung tinggi yang kau curahkan semampumu kepada kami

Tidak ternilai harganya
Hanya Doa sebagai penghubung tanda kasih dan penghargaan dari kami
Akhlakmu cerminan Al-Quran Kalamullah dan biasan pekerti warisan para nabi

Sumber inspirasi kami untuk mengikuti jejak langkah mu sedaya kami
Kesungguhanmu untuk mengangkat ISLAM

Membakar semangat kami untuk meneruskan perjuangan

Kini
Kasih sayang ALLAH telah menjemputmu pergi ke alam yang lebih abadi

Alam yang pasti dilalui setiap insan yang bernyawa apabila telah putus nafasnya

Alam rehat bagi mereka yang berjuang tanpa mengerti penat lelah dan rehat semasa di dunia
Peristiwa yang menjadi iktibar dan pengajaran buat yang masih ada
Sesungguhnya dunia ini hanyalah persinggahan bagi makhluk yang bernyawa

Hanya Akhirat alam yang kekal abadi
Setiap yang bernyawa pasti akan pergi menemuiNya
Membawa segala amal perbuatan di dunia

Ujian ALLAH untuk melihat siapakah dikalangan hambaNya yang paling baik amalan semasa hidup
Yang merindui untuk bertemu Tuhan Yaumul Qiyamah

Pada suatu masa yang entah bila tibanya

Tidak mampu ditangguh dan dipercepatkan walau sesaat
Bertemu janji ALLAH


Sudahkah kita bersedia menemuiNya?

Mungkinkah kita selepas ini?

Adakah ini Sya'ban yang terakhir?
Sempatkah kita menyambut Ramadhan tahun ini?


Marilah kita bersama-sama persiapkan diri

Untuk bertemu denganNya

Wallahu'alam..
AL-FATIHAH....