Monday, September 15, 2008

Memilih sahabat baik dan beriman


Sahabat umpama penyuluh yang menerangi kegelapan. Di dalam kitab Hidayatul Salikin Imam Ghazali ada menyatakan: “Hendaklah kita memilih sahabat dengan 5 syarat.”
Orang Yang Berakal
Jika kita berkawan dengan orang kurang berakal ( jahil ) mungkin akan menyebabkan perkelahian. “Seteru yang berakal itu terlebih baik daripada kawan yang tidak berakal.” Seteru akan menegur kita apabila kita melakukan kesalahan. Perkara ini akan membolehkan kita membaiki kesalahan kita. Manakala sahabat yang tidak berakal akan mendiamkan diri walaupun kita melakukan kesalahan.
Baik Peribadi Dan Perangainya ( Akhlaknya )
Jangan bersahabat dengan orang yang jahat perangainya. Begitu
juga orang yang sangat pemarah, derhaka kepada ibu bapa, tidak solat, tidak puasa dan orang yang meringan-ringankan agama.
Orang Yang Soleh
Jangan berkawan dengan orang yang fasik. Fasik ialah orang yang mengekalkan dosa besar dan dosa kecil. Seorang yang takutkan Allah S.W.T. tidak akan mengekalkan dosa besar atau dosa kecil. Sabda Nabi s.a.w: “Jangan engkau bersahabat melainkan dengan orang mukmin dan jangan engkau makan melainkan dengan orang-orang yang bertaqwa.” ( Abu Daud dan At-Tarmizi )
Jangan Bersahabat Dengan Orang Yang Sangat Kasih Pada Dunia
Barangsiapa yang bersahabat dengan orang seperti ini adalah umpama racun yang akan membunuhnya kerana tabiat kawan itu akan menjadi ikutannya. Sabda Nabi s.a.w: “Sangat kasih kepada dunia itu kepada segala kejahatan dan kesihatan.” ( Ibnu Abid-Dunya dan Al-Baihaqi )
Maksud kasih kepada dunia di sini ialah perkara-perkara yang bertentangan dengan suruhan atau larangan Allah S.W.T. dan Nabi s.a.w.
Walaupun ia seorang peniaga, tetapi di dalam perniagaannya itu mengikut suruhan dan meninggalkan larangan Allah dan Rasul-Nya s.a.w serta ia mengingati Allah, dikira agama (ibadatnya). Sebaliknya jika ia beribadat atau beramal tidak mengikut kehendak Allah dan Rasul s.a.w atau ia lalai daripada Allah dan mengingati dunia, ibadat itu dinamakan dunia, walaupun pada asalnya ibadat itu adalah agama. Sabda Nabi s.a.w: “Barangsiapa yang melakukan sesuatu perbuatan ( amalan ) yang bukan daripada perintah kami, maka ia adalah ditolak.”
Orang Yang Benar Perkataannya ( Jujur )
Janganlah suka berkawan dengan orang yang suka berdusta. Orang yang suka berdusta itu tidak dapat dipercayai agama dan dunianya. Demikian akan membawa kepada kebinasaan dunia.
Sabda Nabi s.a.w: “Tiga perkara barangsiapa yang ada salah satu daripadanya, maka ia munafik meskipun ia berpuasa dan solat. Apabila bercerita, ia berbohong, apabila berjanji nescaya ia menyalahi janjinya, apabila diberi amanah, ia khianat.”

Siapakah Sahabat Yang Baik
Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Siapakah yang menjadi sahabat yang paling baik bagi kami?” Jawab Rasulullah s.a.w: “Seorang yang apabila kamu memandangnya, kamu teringat akan Allah, apabila kamu dengari cakapnya, bertambah pengetahuan kamu tentang Islam, apabila kamu melihat kelakuannya kamu teringat kehidupan akhirat.”

KESIMPULANNYA
Setelah kita mengenal sifat-sifat bagi memilih sahabat janganlah kita terjebak dengan pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
Di dalam sebuah hadis ada diterangkan bahawa 4 perkara yang merosakkan hati manusia:
Bertanding ( berbahas ) dengan orang yang bodoh lagi tolol.
Memperbanyakkan dosa.
Bercampur gaul dengan perempuan yang bukan mahram.
Menggauli orang-orang yang telah mati. Baginda s.a.w ditanya: “Siapakah yang dimaksudkan dengan orang yang telah mati.” Jawab Baginda s.a.w: “Ia adalah seorang hartawan yang hartanya telah menyombongkan dirinya.”
( Rujukan himpunan Kitab Fadilat Zikir m/s: 142 oleh Maulana Zakaria Saharanpur )

BERDAMPING DENGAN ORANG YANG SOLEH DAN ULAMA
Maulana Zakaria r.a. Syakul hadis telah menulis di dalam kitabnya Himpunan Kitab-kitab Fadail: Fadilat Tabligh m/s: 35 seperti berikut.
“Barangsiapa yang mendampingi kekasih-kekasih Allah S.W.T. serta mengikut sunah Rasulullah s.a.w, ia adalah seorang kekasih yang tulin dan pasti ia akan mendapat berkat Allah S.W.T.”
Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran: “Wahai mereka yang beriman! Takutilah akan Allah dan bersertalah dengan orang-orang yang benar lagi taat.” ( At-Taubat A:119 S:9 J:11 M/S:206 )
Para musafir telah mentafsirkan bahawa orang yang benar lagi taat ialah para sufi ( awlia ). Barangsiapa berdamping dengan mereka ( awlia ) itu serta mendengar khutbah-khutbahnya dia akan mendapat darjat kerohanian yang amat tinggi.
Syeikh Akhbar telah menulis: “Apabila kamu bertemu dengan kekasih-kekasih Allah, layanilah ia baik-baik dan ikutilah ajaran-ajarannya. Rundinglah dengannya mengenai masalah rohani dan agama kamu supaya dapat beliau membimbing kamu ke jalan yang benar serta membawa kamu lebih dekat kepada Allah S.W.T.”
Sabda Nabi s.a.w: Lokman Al-Hakim menyuruh anaknya dengan perkataan ini, “Dampinglah diri dengan orang-orang alim dan dengarlah baik-baik akan perkataan mereka, kerana dengannyalah Allah menghidupkan sanubari yang telah mati sepertimana Allah menghidupkan bumi yang gersang dengan hujan.”

SIAPAKAH ULAMA ATAU ORANG SOLEH
Abu Darha r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: “Ulama itu pewaris Nabi s.a.w.” ( Hadis diriwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hiban ). Maksudnya: Ulama itu ialah sebagai pemegang amanah nabi-nabi.
Dikehendaki dengan ulama di sini ialah orang yang mempunyai ilmu yang luas seperti lautan tetapi lahir pada perbuatannya, percakapannya dan pemikirannya seperti Nabi s.a.w dan sahabat. Sebaliknya jika ia mempunyai ilmu semata-mata dan lahir pada zahirnya akhlak seperti orang jahil, Nasrani, Yahudi atau Majusi nescaya keluarlah ia daripada maksud hadis di atas.
Di sini hamba yang hina, daif, jahil lagi banyak dosa ini menyeru diri sendiri dan mereka yang bergelar ustaz, ulama atau sebagainya sama-samalah kita mengembalikan semula pada zahir dan batin kita dengan sifat dan akhlak nabi atau awlia Allah. Sama-samalah kita mencari dan berdoa supaya berjumpa dengan guru yang mursyid dan mujaddid.
Kata Imam Ghazali di dalam Kitab Sirus Salikin jilid pertama pada bab menyatakan kelebihan ilmu. Dikehendaki dengan makna ulama ( orang alim ) ialah mereka yang mempunyai ilmu syariat dan beramal dengan Tariqat dan ilmu Hakikat ( orang sufi ).
Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran: “Sesungguhnya yang takut akan Allah S.W.T. itu ialah di kalangan ulama ( awlia ).” ( Al-Faathir A:28 S:35 J:22 M/S:437 )

SIAPAKAH MUJADDID ATAU MURSYID
Mujaddid di dalam bahasa Arab ialah pembaharuan atau orang yang membuat pembaharuan.
Mujaddid yang dikehendaki di sini ialah seorang pemimpin Islam yang tinggi takwanya. Ia lahir pada awal kurun. Kepimpinannya mampu menghidupkan kembali semangat Islam dan dapat meningkatkan amalan umat Islam.
Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya Allah membangkitkan bagi umat Islam seorang mujaddid yang membaharui agama Islam pada setiap awal kurun.” Sedarkah kita bahawa sekarang kita telah berada di awal kurun. Siapakah mujaddid pada kurun yang lepas dan pada kurun ini? Marilah kita sama-sama memohon kepada Allah supaya mendapat bimbingan guru mursyid atau mujaddid.
Persoalannya adakah mereka yang masih kekal puntung-puntung api neraka di mulutnya ( rokok ) masih boleh dipanggil mursyid atau mujaddid? Adakah mereka yang baru hendak digeletek sudah melatah boleh dipanggil mursyid atau mujaddid? Di sini saya datangkan beberapa sifat seorang mujaddid atau mursyid. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

SIFAT-SIFAT ORANG MUJADDID
Paling alim pada zamannya. Kealimannya bertaraf mujtahid. Beliau alim masalah agama dan hal-hal keduniaan, kerohanian, jiwa ( psikologi ), sahsiah dan sebagainya.
Berani luar biasa. Tidak takut pada ancaman puak kufur dan munafik.
Paling menonjol sifat takwanya. Bukan setakat dirinya sahaja, malahan pada murid-muridnya juga terserlah ketakwaannya.
Sangat zuhud terhadap dunia. Walaupun ia duduk dengan harta, kemewahan atau bercampur dengan ahli-ahli dunia ( orang kaya ) tetapi hatinya tetap dengan Allah dan akhlaknya tetap dengan Rasulullah s.a.w
Lidah dan mata penanya tajam serta berpandangan jauh.
Syarahannya di dengar dan memberi kesan kepada masyarakat.
Membawa hujah yang sukar dikalahkan oleh musuh dan memberi kekuatan kepada kawan.
Allah S.W.T. membantu dengan keramat dan ma’unnah.
Sentiasa berjuang dengan lisan dan tangan. Sentiasa memimpin murid-muridnya dan ramai orang dengan amalan yang membawa hampir kepada Allah S.W.T.
Sebagai obor bagi umat Islam pada zamannya.
Menyedarkan kembali ulamak-ulamak yang sedang lalai terhadap tanggungjawab mereka.
Ditakuti oleh lawan dan dihormati oleh kawan.
Mempunyai pengikut dan orang yang simpati kepadanya.
Kepimpinannya mempunyai kesan kepada jiwa, fikiran dan sikap masyarakat.
Mujaddid itu sendiri adalah wali Allah S.W.T.

CARA-CARA UNTUK BERTEMU MUJADDID
Mencari mujaddid bukan seperti kita mencari ilmu di dalam kitab-kitab. Mencari mujaddid adalah melalui amalan dan penyerahan kepada Allah S.W.T. Hati sentiasa mengingati Allah S.W.T. dan Rasulullah s.a.w. Kita tidak akan berjumpa dengan mujaddid ( mursyid ) hanya dengan keilmuan tanpa penyerahan kepada Allah S.W.T.
Selawat ialah salah satu jalan untuk bertemu dan menjadi murid kepada mursyid dan mujaddid. Kemudian hendaklah melakukan solat hajat. Pada rakaat yang pertama selepas Fatihah, baca Ayatul Kursyi. Pada rakaat kedua selepas Fatihah, baca A’man Rasul.
Selepas salam teruskan berzikir dan berdoa kepada Allah S.W.T. memohon supaya mendapat bimbingan mursyid