Thursday, March 5, 2009

Kembalilah kepada ALLAH dan RasulNya



Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT dan selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat baginda, pejuang-pejuang ISLAM serta seluruh umat ISLAM yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

Syukur Alhamdulillah dengan limpah kurniaNya, masih diberi peluang menghirup nafas pada hari ini untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba ALLAH dan khalifah di bumi ini seperti dalam surah Adz- Zariyat ayat 56, "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu." dan serta masih diberi ruang dan peluang untuk memperbaiki diri dan bertaubat bagi menghapuskan dosa-dosa yang lalu seperti firman ALLAH dalam Surah Hud ayat 3, " Dan hendaklah kamu memohon ampunan kepada Tuhanmu dan bertaubat padaNya, nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik kepadamu sampai waktu yang telah ditetapkan. Dan Dia akan memberikan kurniaNya kepada setiap yang berbuat baik dan jika kamu berpaling, makan sungguh, aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari yang besar(Kiamat)."

Masa berlalu terlalu pantas, amatlah rugi bagi kita jika masa tersebut berlalu tanpa diisi dengan sebaiknya kerana masa yang telah berlalu tidak akan kembali. Pejam celik-pejam celik dah di bulan Mac 2009, bulan penuh makna buat diri ini. Kebetulan juga, bulan ini adalah bulan Rabiul Awal, bulan kelahiran kekasih ALLAH, Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, betapa bersyukurnya ana kerana diberi kesempatan untuk bersama-sama dengan bulan kelahiran baginda.

Alhamdulillah, walaupun baginda telah lama meninggalkan kita namun kita masih diberi peluang untuk merasai nikmat iman dan Islam pada hari ini. Hal ini kerana sumbangan dan pengorbanan baginda, para sahabat baginda dan pejuang-pejuang ISLAM yang terus teguh dan sedia berkorban untuk menegakkan dan mempertahankan syiar Islam hingga ke hari ini. Dapatkah kita bayangkan apakah akan terjadi pada kita sekiranya nikmat iman dan islam tersebut tidak sampai kepada kita pada hari, mungkin juga kita tidak seperti sekarang. Namun begitu persoalannya di sini, sekiranya bukan kita yang merasai nikmat iman dan islam menyebar dan mempertahankannya dalamn kehidupan seharian dikalangan masyarakat, akan adakah lagi nikmat kurniaan ALLAH ini sampai kepada generasi yang seterusnya(sekiranya belum kiamat)? Sanggupkah kita melihat generasi kita seterusnya sudah tidak mengenali ALLAH dan RasulNya serta ISLAM sebagai cara hidup yang diredhai ALLAH malah sombong dan bongkak dengan harta dan keseronokan dunia?

Sebagai seorang hamba ALLAH terutama yang mengaku orang ISLAM, marilah kita bersama-sama kembali menyerahkan diri kita kepada ketentuan dan ketetapan yang telah ditetapkan ALLAH iaitu ikutilah syariat ISLAM secara keseluruhan dalam kehidupan seharian. ALLAH telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 208, " Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam ISLAM secara keseluruhan dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu." Walaupun kita terpaksa menempuh arus kehidupan yang sangat mencabar kebolehan dan keupayaan setiap individu, namun perlu diingat bahawa cara hidup yang diterima di sisi ALLAH hanyalah ISLAM. Firman ALLAH SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 19, "Sesungguhnya agama di sisi ALLAH ialah ISLAM." Sekiranya kita mengambil cara hidup selain yang ditetapkan ISLAM kerana menganggap ISLAM perlu berubah mengikut aliran zaman maka akan datanglah kemurkaan ALLAH. Apakah yang lebih dahsyat lagi selain kemurkaan ALLAH di dunia dan azab ALLAH yang amat pedih dunia dan di akhirat? Firman ALLAH dalam Surah Ar-Rum, ayat 30, "Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (ISLAM); (sesuai) fitrah ALLAH disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada penciptaan ALLAH. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

Namun ini tidak bermakna kita hanya perlu berada di atas sejadah 24 jam tanpa melakukan pekerjaan seharian, kerana itu bukanlah ISLAM yang diamalkan secara keseluruhan. Kita sememangnya perlu mengabdikan diri kepada ALLAH dalam setiap aspek kehidupan iaitu dengan melaksanakan syariat ALLAH, melakukan suruhan lantas meninggalkan laranganNya dalam apa jua urusan harian kita. Firman ALLah dalam Surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud, " Kamu (umat ISLAM) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia. (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada ALLAH."Sedarkah kita bahawa setiap apa yang kita lakukan ini pasti tidak akan terlepas dari balasan setimpal di akhirat kelak. ALLAH MAHA MENGETAHUI hatta sekecil zarrah pun yang terlintas di benak fikiran dan lintasan hati kita. Benarlah seperti firman ALLAH dalam Surah Al Zalzalah ayat 7 &8 yang bermaksud," Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat balasannya, dan barangsiapa mengerjakan kejahatan walau seberat zarrah nescaya dia akan melihat balasannya." Kita tidak akan pernah terlepas dari pandangan ALLAH, yang sentiasa memerhati gerak geri kita, percakapan kita dan apa jua yang kita buat. ALLAH SWT telah berfirman dalam Surah Al-Qasas, ayat 69, " Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan dan apa yang mereka nyatakan."dan Surah Ali Imran ayat 29, "Katakanlah , jika kamu sembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu nyatakan, ALLAH pasti mengetahuinya. Dia mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. ALLAH Maha Kuasa atas segala sesuatu."

Renungkanlah betapa banyaknya dosa yang telah kita lakukan tanpa kita sedari mahupun sedari selama ini, mungkin juga segala amalan kita tidak mencukupi untuk menandingi dosa dan kesalahan kita, astaghfirullah...hanya keampunan dan redha ALLAH sahaja yang mampu menyelamatkan kita dari api neraka. Lihatlah betapa kerdilnya diri kita jika dibandingkan dengan rahmat dan kasih sayang ALLAH selama ini dan kita berharap sangat agar ALLAH akan melimpahkan rahmat kasih sayang dan redhaNya pada kita di akhirat nanti. Tidak dapat kita bayangkan betapa ruginya kita di akhirat nanti andai kita tidak dapat redha dan kasih sayangNya, apatah lagi syafaat daripada penghulu kita, Nabi Muhammad SAW yang boleh menyelamatkan kita dari api neraka ALLAH.

Apa yang berlaku sekarang, ramai dikalangan kita yang masih leka dan lupa betapa hidup di dunia ini hanyalah sementara, akhirat itu yang kekal abadi malah ada juga yang tidak ingin mengamalkan ajaran ISLAM yang diwahyukan dari ALLAH untuk hamba-hambaNya. Tujuan kita diciptakan bukan hanya untuk dunia tetapi mempersiapkan diri dan bahtera menuju alam akhirat. Apabila kita menggunakan hayat kehidupan kita untuk menegakkan syariat ALLAH, mengamalkan dan menghayati ajaran baginda Rasulullah SAW, maka akan berbahagialah kita di dunia di bawah lindungan keredhaanNya dan insya ALLAH redha ALLAH akan bersama kita di akhirat nanti agar dapat menghindar dari azab ALLAH yang pedih dan menikmati syurga ALLAH yang tiada bandingan di akhirat kelak.

Terfikirkah kita behawa hakikat penciptaan kita sebenarnya hanyalah sebagai ujian dan pentas untuk membuktikan siapakah dikalangan hamba ALLAH yang benar-benar beriman kepadaNya lantas melakukan suruhan dan meninggalkan laranganNya? Hal ini samalah seperti firman ALLAH dalam Surah Al- Ankabut ayat 2 & 3, " Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan , "Kami telah beriman" sedangkan dia belum diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka ALLAH pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta." ALLAH Juga telah berfirman dalan Surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud," Yang menciptakan kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa , Maha Pengampun."

Oleh itu, marilah kita kembali kepada ajaran ISLAM yang sebenar. Usahlah kita beranggapan hidup kita akan selamat jika tidak mengikut suruhan ALLAH dan berani melanggar syariat ALLAH. Kembalikanlah kegemilangan ISLAM dan keamanan dunia di bawah lembayung ISLAM dan redha NYA.

Siapakah kita pada pandangan ALLAH sedangkan kita tidak mampu menghadapi sakit dan peritnya sakaratul maut yang datang pada bila-bila masa walau tanpa diundang, azab kubur yang berhadapan dengan gigitan kala jengking, patukan ular dan azab kubur yang lain, serta azab api neraka yang maha hebat yang tidak tertanggung pedihnya. Sedangkan kekasih ALLAH, Nabi Muhammad SAW yang dijamin syurga tidak pernah sombong pada penciptanya malah menjadi hambaNya yang sangat bersyukur. Subhanallah...

Salam Maulud Nabi. Perbanyakkanlah berselawat ke atas baginda. Selami dan hayatilah sirah perjuangan baginda dan para sahabat serta pejuang-pejuang ISLAM yang lain demi ISLAM tercinta dan jadilah penerus ajaran ISLAM hingga ke penghujungnya, insya ALLAH. Kemanisan Iman dapat dirasai dengan mencintai ALLAH dan Rasul Nya melebihi segalanya di dunia ini.. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha sedaya yang termampu membuktikan kecintaan kita kepada ALLAH dan RasulNya dengan berjuang menegakkan syariat ALLAH dalam setiap aspek kehidupan kitadan menjadikan ISLAM adalah tertinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya, insyaALLAH...

Wallahu'alam..Sekiranya adalah salah dan silap,harap dapat ditegur untuk diperbaiki agar dapat menyelamatkan dari terus tersilap. Semoga ada sedikit manfaat darinya dan beroleh keredhaanNya,ameen.

Allahumma Solli 'ala Saiyidina Muhammad wa'ala alihi wasohbihi wasallim...