Saturday, October 6, 2012

Jangan Bersedih, ALLAH bersama kita

Saat kita menempuhi onak duri dunia, ya mungkin ada kalanya, kesedihan itu terus memanjat-manjat di dasar hati lantaran ada dugaan yang memedihkan dan mengusik ketenangan jiwa. Air mata seakan bersedia mahu keluar agar tidak terus berombak di kolam hati. Saat itu mungkin sabar tidak dikenali lagi. Dalam terharu, air mata tumpah juga, mengalir deras mengeringkan derita. Kemudian ada sedikit ketenangan mula menyusup membalut lara, sinar-sinar harapan menampakkan cahaya menyuluh jalan yang lebih bahagia. Keyakinan seakan tumbuh dari sokongan dan kesedaran, wajah mula tenang dan senyuman mudah terbentuk. Cerialah diri. Suka duka, sedih gembira bagaikan silih berganti. Wahai hati, ingatlah diri kita ini tidak hidup abadi. esok, lusa, mana tahu kita akan mati.
Wahai Hamba Ilahi, Allah mendugamu bukan kerna Dia mahu menyusahkan dirimu tetapi Dia ingin mengetuk hatimu yang tidak pernah lelah bermain dengan dunia agar dirimu kembali lurus pada jalanNya..
Ingatlah, Allah tidak pernah melupakan kita tetapi mungkin kita yang selalu melupakanNya, melupakan ayat-ayatNya, melupakan nikmat-nikmat yang telah kita pinjam dariNya..
Ketika kita senang, dengan enteng kita meninggalkanNya. Ketika kita susah, kita meraung menyeru namaNya. tidak malukah kita padaNya? Sedarlah! kita hambaNya bukan siapa-siapa. Jika tidak kerna kasih sayangNya kita tidak akan dapat merasai apa yang kita miliki ketika ini..
Sedarlah jiwa-jiwa yang terleka. Hadapilah segala ujian dengan rasa kehambaan kepadaNya. Tersenyumlah kerna setiap kesulitan itu pasti akan disusuli oleh kemudahan. Sesungguhnya dugaan dan ujian hadir dalam hidup kita adalah tanda sayangnya Allah pada kita. Oh untungnya kita.
Ayuh kembali menjadi hamba-Nya, kesilapan yang lalu jadikanlah sebagai pengajaran buat kita agar terus berjaya di masa depan. Jangan biarkan kegagalan itu membunuh jiwa kita untuk terus bangkit.
Buatmu wahai jiwa–jiwa yang terluka.. Jangan bersedih, kerana qadha’ telah ditetapkan, sesuatu yang ditakdirkan telah terjadi, pena-pena telah mengering, lembaran-lembaran catatan ketentuan telah pun dilipat, dan setiap perkara telah ditetapkan! Betapapun, kesedihan anda tidak dapat mendahulukan atau menta’khirkan kenyataan yang terjadi, dan tidak juga mampu menambahkan atau mengurangi apa yang telah ditetapkan.
Jangan bersedih, kerana kita telah melalui kesedihan itu kelmarin dan ia sama sekali tidak memberi sebarang manfaat pun pada keesokan harinya. kesedihan demi kesedihan bakal membuat kita semakin terperuk dalam keputus-asaan dan dunia yang luas dirasakan sempit dan tidak lagi berguna. Padahal, dunia inilah kesempatan untuk kita dekatkan diri kepada Allah untuk kita raih syurgaNya yang tersangat indah serta bebas daripada rasa kesedihan.
Jangan bersedih, sebab usia anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan dan ketenangan anda. Oleh sebab itu, jangan habiskan usia anda dalam kesedihan, jangan biarkan malam-malam anda dalam kecemasan, jangan anda tukar kebahagiaan dengan ketakutan, dan jangan mensia-siakan waktu anda yang masih tersisa, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang mensia-siakan waktu.
Wahai hamba Allah, iaitu saya dan kamu.. Gara-gara kesedihan, air yang manis akan terasa pahit, makanan yang lazat terasa hambar dan bunga mawar yang mekar mewangi terus menjadi layu. Kita sendirilah yang menggerakkan saraf pemikiran kita, mengubah situasi kita, meletihkan hati kita dan menganggu tidur kita dengan rasa kesedihan itu.
Ingatlah tangisan terindah itu apabila butir-butir airmata mengalir hangat di pipi lantaran terasa diri kita begitu kerdil di sisi Allah dan begitu berdosanya kita di sisi Allah. Jika kita soal pada hati kita yang paling dalam. Berapa banyakkah dosa kita? Sikitkah? Banyakkah? Terhitungkah? Allahu Rabbi… Semoga Allah sentiasa mengampuni dosa-dosa kita serta menggerakkan hati-hati kita supaya sentiasa bertaubat kepadaNya agar diri kita tidak tenggelam dengan dosa-dosa yang menggelapkan hati lalu memadam nur hidayah yang diidami.. Sama-sama kita renungi diri kita ini lebih-lebih lagi yang menulis ini dan sahabat-sahabat yang dikasihi. InsyaAllah, semoga Allah redha ke atas kita semua.
Lihatlah disekeliling kamu dan teguhkan pendirianmu, sepanjang hidup dan usiamu jangan mudah berputus asa, senyuman yang kau berikan dan airmata yang kau titiskan, simpan.. jadikan tauladan, segala yang kau pandang dan dengar, simpan.. buat pedoman.
“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.” – (Surah Al-Imran:139)
Dipetik dari Jangan Bersedih.com, nukilan Muhammad Bin Abdullah.

Friday, September 14, 2012

Syawal yang diberkati

Bismillahirrahmanirrahim.... Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....
Syukur Alhamdulillah, walaupun agak lewat, namun masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut syawal sebagai bulan kemeriahan bagi umat Islam setelah berusaha menjalani ibadat puasa sepanjang bulan Ramadhan yang lalu...
Sehubungan dengan itu, ketahuilah bahawa kedatangan Syawal bukanlah bermakna mengurangkan ibadat dan kesungguhan kita dalam mematuhi perintah ALLAH. Seperti yang terdapat dalam majalah solusi, ingin diri ini kongsikan bersama sedikit petikan yang menarik perhatian...
Seorang mukmin yang bertakwa hendaklah sentiasa takut kepada ALLAH swt dan sentiasa istiqamah melaksanakan amaln soleh. ALLAH swt berfirman dalam Surah Fussilat ayat 30 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan Kami ialah ALLAH,kemudian mereka tetap teguh atas jalan yang betul, maka akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): 'Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."
Akhir sekali, semoga kita sama-sama berusaha menjadi orang yang beristiqamah dengan amalan soleh. Nabi Muhammad saw bersabda yang bermaksud, "Wahai sekalian manusia, hendaklah kamu beramal sekadar mampu, sesungguhnya ALLAH tidak akan jemu sehinggalah kamu yang jemu. Dan sesungguhnya sebaik-baik amalan yang konsisten sekalipun ia sedikit. (Riwayat Muslim).
-Solusi-

Sunday, August 5, 2012

Muhasabah Ramadhanku

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga diucapkan kepada ALLAH SWT, Tuhan pentadbir sekalian alam...Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad, kepada ahli keluarga baginda, para sahabat, tabi' tabiin dan seluruh umat Islam yang masih berpegang teguh kepada ajaran baginda...
Sedikit perkongsian sempena Ramadhan yang mulia ini, berkenaan KPI (Key Performance Indeks) yang telah ditetapkan oleh ALLAH untuk kita amalkan bersama, insya ALLAH... 1. Mematuhi perintah wajib berkenaan puasa. 2. Mematuhi larangan semasa berpuasa. 3. Meninggalkan larangan haram yang asas dalam Islam. 4. Memperbanyakkan ibadah sunat dalam bulan Ramadhan. 5. Banyak bersedekah termasuk menjamu berbuka orang yang berpuasa. 6. Menjauhi amalan yang membatalkan pahala puasa. 7. Melepasi ujian ALLAH semasa berpuasa. 8. Mencapai taqwa.
Berdasarkan KPI ini, marilah kita menilai sejauh mana KPI yang telah kita capai sepanjang Ramadhan yang kita lalui. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan penuh rasa ketakwaan kepada ALLAH, nescaya diampuni dosanya yang telah lalu." (Muttafaq'alaih).
Beruntunglah mereka yang berpuasa atas dasar iman kepada ALLAH. ALLAH akan menilainya dengan syurga dan keampunan.
solusi 34