Thursday, May 31, 2012

Subhanallah, indahnya bidadari syurga itu...

Bismilllahirrahmanirrahim… Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh…
Syurga merupakan tempat ALLAH melimpahkan seluruh sifat jamal dan rahmahNya kepada makhluk. Perbincangan tentang kenikmatan syurgawi tidak akan sempurna tanpa membahaskan kecantikan bidadari-bidadari yang terdapat di dalamnya. Mereka ialah makhluk-makhluk yang sangat sempurna kejadian dan akhlaknya, ALLAH ciptakan khas untuk menjadi pasangan hamba-hamba yang bijak mengawal hawa nafsu selama di dunia ini. Iaitu orang yang selalu menjaga tubuhnya daripada maksiat kerana mengharapkan keredhaan ALLAH swt.
“Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu dalam kesibukan bersenang-senang. Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, berbaring/bersandar di atas dipan-dipan. Di syurga itu mereka memperoleh buah-buahan dan memperoleh apa yang mereka minta. “Salam” itulah ucapan daripada Tuhan yang Maha Penyayang.” (Surah Yasin:55-58). Apabila kita renungkan pelbagai nas yang menceritakan bidadari syurga ini, kita akan dapati bahawa mereka ialah makhluk yang terlalu sempurna untuk dijangkau imaginasi manusia yang terbatas. Kecantikan, kejernihan, kelembutan dan kewangian tubuh mereka mengatasi wanita manapun di muka bumi ini.
ALLAH menyebut mereka dengan panggilan “hur al-ain”, iaitu wanita yang berkulit putih dan bermata lebar dengan bola mata yang sangat cantik. Begitu indah dan jernihnya tubuh mereka seakan-akan mereka itu adalah permata yakut dan marjan.” (Surah Ar-Rahman:58). Dalam hadith al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Andai seorang wanita syurga menampilkan diri kepada penduduk dunia, nescaya teranglah apa yang ada diantara kedua-duanya dengan wangian. Tudung yang menutup kepalanya lebih indah daripada duniadan seisinya.”
Suara mereka pun begitu indah dan menawan hati. Imam al-Tirmizi meriwayatkan daripada Ali Bin Abi Talib, sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “ Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah tempat pertemuan untuk para bidadari mengangkat suara mereka dengan nyanyian. Tidak pernah seorang makhluk mendengar suara yang lebih indah daripada suara mereka..”(Hadith gharib)
Kecantikan dan keindahan luar biasa ini dimahkotakan dengan hati yang penuh cinta sebagaimana firman ALLAH SWT , “Uruban ‘atraban (penuh cinta lagi sebaya umurnya).” (Surah Al-Waqi’ah:37) Menurut Ibn Abbas, ‘uruban ertinya para bidadari ini sangat merindui dan mencintai suami-suami mereka. Mereka sering berkata, “Demi ALLAH, tidak ada di dalam syurga ini sesuatu yang lebih indah daripada engkau. Demi ALLAH, tidak ada di dalam syurga ini sesuatu yang lebih aku cintai daripada engkau.” Demikian sebagaimana dinyatakan dalam hadith panjang riwayat Abu Ya’la daripada Abu Hurairah. ‘Atraban pula bermaksud, usia para bidadari ini sebaya dengan usia suami mereka. Hampirnya usia sesuatu pasangan merupakan salah satu factor terpenting yang mengeratkan cinta dan kasih saying antara kedua-duanya.
Namun begitu, secantik manapun para bidadari ini, wanita-wanita mukminat jauh lebih cantik daripada mereka, iaitu mereka yang membasuh mukanya setiap hari dengan air wuduk, melaksanakan solat dan taat kepada suaminya demi mencapai keredhaan ALLAH. Hal ini telah dinyatakan ALLAH dalam firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan mereka dengan penciptaan baru. Dan kami kembali menjadikan mereka gadis-gadis rupawan. (Surah Al-Waqi’ah:35-36). Mereka akan mengetuai bidadari-bidadari dan bersama dengan suaminya semasa di dunia. Hal ini menunjukkan bahawa cinta yang terjalin kerana ALLAH dan mengharapkan redha Ilahi tidak akan berakhir dengan kematian, akan tetapi akan terus menyala dan hidup kekal di dalam syurga abadi.
Wallahu’alam. -Solusi 24-

No comments: