Friday, June 5, 2009

Orang mukmin tercipta penuh cubaan

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum wbt..

SABDA Rasulullah s.a.w. ertinya, “Sesungguhnya seorang mukmin tercipta dalam keadaan Mufattan (penuh cubaan), Tawwab (senang bertaubat), dan Nassaa (suka lupa), (tetapi) apabila diingatkan ia segera ingat”;.

Hadis ini menjelaskan sifat-sifat orang mukmin yang tidak lepas dari dugaan dan cubaan. Ia dianggap satu sifat yang menyatu dengan diri orang mukmin, tiada pernah lepas hingga seolah-olah seperti pakaian yang selalu menempel pada tubuh mereka.


Mufattan
Ertinya : Orang yang diuji (diberi cubaan) dan banyak ditimpa fitnah. Maksudnya : (orang mukmin) adalah orang yang waktu demi waktu selalu diuji oleh Allah dengan bala (bencana) dan dosa-dosa. Dalam hal ini fitnah (cubaan) itu akan meningkatkan keimanannya, memperkuat keyakinannya dan akan mendorong semangatnya untuk terus menerus berhubungan dengan Allah.

Menurut sebuah riwayat Bukhari dan Muslim, sesungguhnya Nabi Muhamad s.a.w. bersabda: Ertinya : “Perumpamaan orang mukmin ibarat sebatang pokok yang lentur ditiup angin, kadang hembusan angin merobohkannya, dan kadang-kadang meluruskannya kembali. Demikianlah keadaannya sampai ajalnya datang. Sedangkan perumpamaan seorang munafik, ibarat sebatang pokok yang kaku, tidak bergoyang oleh terpaan apapun hingga (ketika) tumbang, tumbangnya sekaligus”

Demikianlah sifat seorang mukmin dengan keimanannya yang benar, dengan tauhidnya yang bersih dan dengan sikap iltizam (komitment) yang sungguh-sungguh.


Tawaab dan Nasiyy
Sabda Rasulullah ertinya, “Orang yang bertaubat kemudian lupa, kemudian ingat, kemudian bertaubat”. Seorang mukmin dengan taubatnya, bererti telah mewujudkan makna salah satu sifat Allah S.W.T., iaitu sifat yang terkandung dalam nama-Nya : Al-Ghaffar (Dzat yang Maha Pengampun). Allah S.W.T. berfirman: Ertinya : “Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, kemudian tetap di jalan yang benar”(Thaha : 82).


Apabila Diingatkan, Ia Segera Ingat.
Ertinya : Bila diingatkan tentang ketaatan, ia segera bergegas melompat kepadanya, bila diingatkan tentang kemaksiatan, ia segera bertaubat daripadanya, bila diingatkan tentang kebenaran, ia segera melaksanakannya, dan bila diingatkan tentang kesalahan ia segera menjauhi dan meninggalkannya. Ia tidak sombong, tidak besar kepala, tidak bongkak dan tidak tinggi hati, tetapi ia rendah hati kepada saudara-saudaranya, lemah lembut kepada sahabat-sahabatnya dan ramah tamah kepada teman-temannya, sebab ia tahu inilah jalan Ahlul Haq (pengikut kebenaran) dan jalannya kaum mukminin yang soleh.

Terhadap dirinya sendiri ia jujur serta berpenampilan luhur, manakala terhadap orang lain ia berperasaan lembut dan berakhlak mulia, menjadi contoh teladan lain. Rasulullah s.a.w., yang telah diberi wasiat oleh Rabb-nya dengan firman-Nya : “Ertinya : Maka disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka .....”. (Ali Imran : 159). Inilah sifat seorang mukmin. Ini pula jalan hidup serta manhaj perilakunya.


-petikan ad-deen-

Mudah2an kita dapat mengambil iktibar dan amalkan dlm kehidupan kita,insyaALLAH..
"Nikmat paling manis, apabila ALLAH mentarbiyah kita dengan pelbagai ujian, namun tautan ukhuwah mampu berhadapan sejuta kesulitan, yg memberi suntikan semangat perjuangan. Alirkan halawatul ukhuwah, kesungguhan dalam perjuangan melalui robitah hati. Ya ALLAH, peliharalah ukhuwah kami, ameen."

Wallahu'alam..

No comments: