Tuesday, May 29, 2012

Bahagia?

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Bagaimana mencari bahagia menurut Al-Quran dan Sunnah?
1. Beriman dan beramal soleh. " Sesiapa yang beramal soleh baik lelaki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan." (Surah al-Nahl:97).
Ibn'Abbas r.a meriwayatkan bahawa segolongan ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang baik ialah rezeki yang halal dan baik (halalan toiyibah). Saiyidia Ali pula mentafsirkannya dengan sifat qanaah (berasa cukup). Ali bin Abi Thalhah dari Ibn 'Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu ialah kebahagiaan.
2. Banyak mengingati ALLAH. Dalam berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan sekali gus bebas daripada rasa gelisah dan gundah-gulana. Firman ALLAH:"Ketahuilah dengan mengingati ALLAH maka hati akan menjadi tenang." (Surah al-Ra'd:28).
3. Bersandar kepada ALLAH. Dengan cara ini seorang hamba akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa dan kecewa. ALLAH berfirman, bermaksud:" Sesiapa yang bertawakal kepada ALLAH maka ALLAH akan mencukupkannya." (Surah Al-Talaq:3).
4. Sentiasa mencari peluang berbuat baik. Berbuat baik kepada makhluk dalam bentuk ucapan mahupun perbuatan dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada ALLAH akan memberi ketenangan hati. Firman ALLAH, yang bermaksud: "Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan antara manusia. Barangsiapa melakukan hal itu kerana mengharapkan keredhaan ALLAH, nescaya kelak Kami akan berikan padanya pahala yang besar." (Surah An.Nisa':114)
5. Tidak panjang angan-angan tentang masa depan dan tidak meratapi masa silam. Fikir tetapi jangan khuatir . Jangan banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum pasti. Ini akan menimbulkan rasa gelisah oleh kesukaran yang belum tentu datang. Juga tidak terus meratapi kegagalan dan kepahitan masa lalu kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin dapat dikembalikan semula. Rasulullah saw bersabda maksudnya: " Bersemangatlah untuk memperoleh apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada ALLAH dan janganlah lemah. Apabila menimpaakan sesuatu (daripada perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata:"Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu." akan tetapi katakanlah: "ALLAH telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan." keran sesungguhnya kalimat 'seandainya' itu membuka kepada amalan syaitan." (Hadis Riwayat Muslim).
6. Melihat kelebihan dan kekurangan sebagai anugerah. Lihatlah orang yang di bawah dari segi kehidupan duniamisalnya dalam kekurangan rezeki kerana dengan begitu kita tidak akan meremehkan nikmat ALLAH yang diberikan ALLAH kepada kita. Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:"Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan melihat ke bawah lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat ALLAH yang dilimpahkanNya kepada kamu." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
7. Jangan mengharap ucapan terima kasih manusia. Ketika melakukan sesuatu kebaikan, jangan mengharapkan ucapan terima kasih ataupun balasan manusia. Berharaplah hanya kepada ALLAH. Kata bijak pandai, jangan mengharapkan ucapan terima kasih kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Malah ada antara hukama berkata, "sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa."
SOLUSI 6.

No comments: