Monday, December 7, 2009

Takut kepada ALLAH

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...
Alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH, Tuhan semesta alam yang tidak memerlukan sesiapa pun, yang mentadbir alam, yang sempurna dan tiada sebarang kelemahan dan kekurangan,yang tidak menyerupai sebarang makhluk ciptaanNya, yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segala-galanya sama ada terang-terangan mahupun yang tersembunyi..
Selawat dan salam buat junjungan mulia nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda seterusnya seluruh pejuang-pejuang Islam dan umat Islam sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
Perasaan takutkan ALLAH adalah sifat utama yang tersemat di dalam jiwa orang mukmin. Al-Quran al-Karim menegaskan bahawa takut kepada ALLAH itu suatu kelaziman iman. Setiap orang yang beriman takut kepada ALLAH dan takut akibat-akibat yang buruk.
Takut kepada ALLAH adalah petanda yang menunjukkan akal yang sihat dan kematangan fikiran kerana ia akan mendorong seseorang itu sanggup berkorban seluruh jiwa dan raganya kepada ALLAH demi kepentingan dan kemanfaatan agama, masyarakat dan negara.
Perasaan takut juga dapat menguatkan teras-teras keimanan yang ada pada seseorang itu. Jika seseorang itu takutkan ALLAH, akan lahirlah dalam dirinya suatu tenaga pendorong yang menggerakkannya untuk beramal ibadat dan berbakti serta setiap aktiviti yang dilakukannya itu semata-mata kerana patuh kepada perintah ALLAH dan Rasul.
Orang yang benar-benar beriman kepada ALLAH ialah orang yang sanggup melakukan segala suruhan ALLAH baik dari segi pemikirannya, perbuatannya dan perkataannya serta menghayati hidup berlandaskan kepada cara hidup Islam. Mereka menjauhi segala larangan ALLAH, redha terhadap segala ketetapan ALLAH yang menimpa ke atas diri mereka, sekaligus bimbang dan takut kepada ALLAH tidak akan menerima segala ibadat yang telah mereka lakukan.
Takut juga adalah antara sifat-sifat orang yang bertakwa kepada ALLAH, seperti dinyatakan oleh Saiyidina Ali, "Takwa itu ialah orang yang takut kepada ALLAH Yang maha Agung, mereka bersyukur terhadap nikmat ALLAH walaupun sedikit, beramal mengikut apa uang diperintahkan oleh ALLAH dan setiap saat bersedia untuk menemui Tuhannya."
Rasa takut itu adalah bergantung besar kepada makrifat seseorang itu kepada ALLAh. Ini bermakna jika seseorang itu kuat makrifatnya kepada ALLAH, maka mendalamlah rasa takutnya itu kepada ALLAH. Sebaliknya jika kurang makrifat seseorang itu, maka kuranglah juga rasa takutnya kepada ALLAH. Oleh kerana pentingnya makrifat itu, maka Islam telah meletakkan makrifat sebagai kewajipan asas bagi setiap muslim ebelum melaksanakan tugas-tugas yang lain,"Mengenal ALLAH adlah kewajipan utama (bagi setiap muslim)."
Memang benar bahawa setiap kali bertambahnya makrifat seseorang itu kepada ALLAH, kian bertambah dan mendalam pula rasa takutnya kepada ALLAH. Apabila seseorang itu makrifat kepada ALLAH, akan terasalah dalam dirinya betapa hebat dan agungnya ALLAH, betapa kuatnya ancaman ALLAH kepada musuh-musuhNya dan begitu juga sebaliknya bagaimana sayang dan kasihnya ALLAH terhadap hamba-hambaNya yang dikasihi.
Ekoran daripada itu, akan terpancarlah dalam sanubarinya rasa kehebatan ALLAh dan seterusnya meletuslah perasaan takut yang merangsang seseorang itu untuk beramal dan berbakti serta mengabdikan diri kepada ALLAH. Disamping itu, ia berdoa dan mengharapkan restu serta keampunan daripada ALLAH agar dia sentiasa dirahmati ALLAH sepanjang masa. Ini kerana ia menyedari andainya ALLAH swt membiarkan dirinya hidup bersendirian tanpa rahmat daripada ALLAH walaupun sekelip mata sekalipun akan hancurlah hidupnya.
Berdasarkan kepada hakikat ini, jelaslah kepada kita bahawa takut kepada ALLAH adalah punca yang menggerakkan seseorang itu untuk melakukan suruhan ALLAH dan melakukan kebajikan. Sebaliknya rasa tidak takutkan ALLAH adalah punca yang menggerakkan seseorang itu melakukan segala kejahatan. Orang yang takut kepada ALLAH bukanlah bererti orang yang banyak menangis dan banyak mengalirkan air mata. Sebaliknya orang yang takut itu adalah mereka yang takut bahawa dirinya dijauhi atau dipulaukan oleh ALLAH dan mereka berada di dalam keazaban ketika bertemu denganNya nanti. Zu Al-Nun berkata, "Seseorang itu tidak akan merasakan kelazatan iman atau taat kepada ALLAH kecuali setelah mendalamnya rasa takut di dalam hatinya."
Para ulama telah bersepakat bahawa takut itu hendaklah berserta dengan ar-raja' atau berharap. Kedua-dua ini sentiasa bergandingan antara satu sama lain kerana takut sahaja akan menjadikan seseorang itu pada akhirnya kecewa atau putus asa dan begitu juga berharap sahaja akan menyebabkan seseorang itu menjadi jahat.
Takut kepada ALLAH bukanlah seperti takut kepada sesuatu benda seperti takut kepada harimau, hantu dan sebaginya. Takut di sini yang sebenarnya ialah merasa takut melakukan kesalahan di hadapan ALLAH Yang Maha Agung, iaitu Tuhan Yang MAha Mengetahui segala rahsia hambaNya. Lantas di merasa malu terhadap ALLAH dan menyebabkan dia sentiasa menjaga dirinya supaya tidak melakukan kesalahan lantaran takut kepada ALLAH.
Oleh itu, orang yang takut kepada ALLAH adalah mereka yang sentiasa melakukan ibadat khusus dan ibadat umum kepada ALLAH. Ibadat khusus ialah melakukan segala fardu yang diwajibkan dan melakukan cara-cara ibadat tertentu yang selaras dengan tuntutan Al-Quran dan Hadith. Ibadat umum atau ibadat dalam pengertian umumnya mencakupi seluruh aspek hidup manusia baik dari segi politik, ekonomi dan sosial. Mereka sentiasa menghayati cara hidup yang diredhai oleh ALLAH dan yakin terhadap hari akhirat serta perkara-perkara yang berhubung dengannya.
Dipetik dari Sifat-sifat Pejuang ALLAH oleh penulis Mohd Ali Bin Abu Bakar, Universiti Al-Azhar, Mesir terbitan Al-Hidayah...sekadar perkongsian bersama untuk kali ini..
Wallahu'alam

No comments: