Tuesday, July 21, 2009

carilah ilmu yang lebih mendekatkamu kepada Allah

Bismillahirrahmanirrahim..

Ketahuilah wahai manusia yang ingin mendapat curahan ilmu, yang betul-betul berharap dan sangat haus kepadanya, bahawa jika engkau menuntut ilmu untuk tujuan bersaing, berbangga, mengalahkan teman sekeliling, meraih simpati orang dan mengharap dunia, maka sesungguhnya engkau sedang berusaha menghancurkan agamu, membinasakan dirimu dan menjual akhirat dengan dunia.

Jika niat dan maksudmu dalam menuntut ilmu untuk mendapat hidayah, bukan sekadar mengetahui riwayat, maka bergembiralah. Sesungguhnya para malaikat membentangkan sayapnya untukmu saat engkau berjalan dan ikan-ikan paus di laut memintakan ampuan bagimu ketika engkau berusaha. Tapi engkau harus tahu terlebih dahulu bahawa hidayah merupakan buah dari ilmu pengetahuan. Hidayah memiliki permulaan dan akhir serta aspek lahir dan batin.

Nabi SAW telah bersabda, "Siapa yang bertambah ilmu tetapi tidak bertambah hidayah, ia hanya bertambah jauh dari ALLAH." Juga hadith Nabi SAW yang bermaksud," Orang yang paling keras seksanya di akhirat adalah orang alim yang ilmunya tidak ALLAH berikan manfaat padanya." Nabi SAW berdoa: "Ya ALLAH, aku berlindung kepadamu dari ilmu yang tidak bermanfaat, dari hati yang tidak khusyuk, dari amal yang tidak diterima dan dari doa yang tidak didengar."

Sabda Nabi SAW,"Di malam aku melakukan Israk, aku melewati sekelompok kaum yang bibir mereka digunting dengan gunting neraka. Lalu aku bertanya: Siapa kamu? Mereka menjawab: Kami adalah orang-orang yang memerintahkan kebaikan tetapi tidak melakukannya dan mencegah keburukan tetapi kami sendiri mengerjakannya."

Ketahuilah bahawa dalam menuntut ilmu, manusia terbahagi 3 golongan:
1. Seseorang yang menuntut ilmu digunakan sebagai bekal untuk akhirat dimana ia hanya ingin mengharap redha ALLAH dan negeri akhirat. Ini termasuk kelompok yang beruntung.

2. Seseorang yang menuntut ilmu digunakan dan dimanfaatkan untuk dunia sehingga boleh memperoleh kemuliaan, kedudukan dan harta. Ia tahu dan sedar bahawa keadaannya lemah dan niatnya hina.

Orang ini termasuk ke dalam kelompok yang berisiko. Jika ajalnya tiba sebelum sempat bertaubat, yang dikhuatirkan adalah pengakhiran yang buruk (Su' al-khatimah) dan keadaannya sangat berbahaya. Tapi jika ia sempat bertaubat sebelum ajal tiba, lalu berilmu dan beramal serta menutupi kekurangan yang ada, maka ia termasuk orang yang beruntung pula kerana orang yang bertaubat dari dosanya seperti orang yang tidak berdosa.

3. Seseorang yang terpedaya oleh syaitan. Ia perguankan ilmunya sebagai alat untuk memperbanyakkan harta secara haram, serta untuk berbangga dengan kedudukannya dan menyombongkan diri. Ilmunya menjadi tumpuan untuk meraih sasaran duniawi. Malahan, dia masih merasakan dirinya mempunyai posisi khusus di sisi ALLAH kerana ciri-ciri pakaian dan kepandaian perbicaraannya seperti ulama padahal ia begitu tamak kepada dunia secara lahir dan batin.

Orang dari kelompok ketiga ini termasuk golongan yang binasa, dungu dan tertipu. Dia tidak bertaubat kerana beranggapan dirinya termasuk orang baik. Kerosakan yang ditimbulkan oleh perbuatannya lebih banyak daripada kebaikan yang disebabkan oleh ucapannya kerana biasanya orang bodoh mencintai dunia setelah melihat si alim cinta pada dunia. Ilmu pengetahuan yang dimilikinya menjadi faktor yang menyebabkan para hamba ALLAH berani bermaksiat padaNya. Nafsunya yang bodoh tertipu, tapi masih memberi angan-angan dan harapan padaNya.

Nafsu tersebut membuatnya beranggapan bahawa dia lebih baik berbanding hamba ALLAH yang lain. Maka jadilah engkau termasuk golongan yang pertama. Waspadalah agar tidak menjadi golongan kedua kerana betapa ramai orang yang menunda-nunda, ternyata ajalnya tiba sebelum bertaubat sehingga akhirnya rugi dan kecewa. Lebih dari itu, waspadalah! Jangan engkau menjadi golongan ketiga kerana engkau betul-betul akan binasa, tidak mungkin selamat dan bahagia.

Ketahuilah bahawa Hidayah bermula dari ketakwaan lahirian dan berakhir dengan ketakwaan batiniah. Tidak ada balasan kecuali dengan takwa dan tidak ada hidayah kecuali bagi orang-orang yang bertakwa. Takwa adalah ungkapan yang mengandung makna melaksanakan perintah ALLAH SWT dan meninggalkan larangan-laranganNya. Lahiriah dari takwa ialah amalan ketaatan, menghindarkan maksiat dan menjaga pergaulan sesama. Itu semua merangkumi hubungan antara hamba dan Khaliq serta makhlukNya. Jika engkau merasakan hal itu sesuai dengan dirimu, kemudian engkau condong serta ingin melakukannya, bererti ALLAH telah memercikkan cahaya iman ke dalam hatimu dan melapangkan dadamu.

Sedarilah bahawa permulaan ini mempunyai akhir dan sebaliknya yang mempunyai pelbagai rahsia, pengetahuan dan hal-hal yang tersingkap. Syaitan laknatullah berusaha menjerumuskanmu dan membuatmu lupa terhadap tempat kembalimu. Ketahuilah bahawa milikmu yang berada di tempatmu tidak betul-betul murni menjadi milikmu kerana semuanya akan dikembalikan kepada ALLAH jua akhirnya..ingatlah selalu.

(Permulaan hidayah-0leh imam Al-Gahazali)

No comments: