Wednesday, May 20, 2009

Peringatan itu bermanfaat bagi setiap muslim

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Marilah kita bersama mengikuti beberapa sifat, ciri dan akhlak yang sepatutnya kita miliki, insya ALLAH..peringatkan selalu diri ini...

1. Ikhlas kepada ALLAH dan benar-benar mahu keredhaan dalam semua gerak gerinya kerana tanpa ikhlas, maka kita tidak mendapat apa-apa balasan daripada ALLAH di akhirat nanti, dan hendaklah bersih daripada sifat riya', ujub, mahukan kedudukan, pangkat dan sanjungan.

2. Fikiran yang cergas, bijaksana, pengalaman dan pengetahuan yang luas, cepat memahami masalah, tidak pelupa, tidak terbuntu fikiran waktu marah atau kecemasan.

3. Tenang, tidak pemarah, bertimbang rasa dan pengasih.

4. Lemah-lembut. Terlalu banyak ayat-ayat dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang memuji sifat itu, di antaranya:(maksud hadit)
"Bahawasanya ALLAH itu lemah -lembut, sukakan kepada lemah -lembut dan memberi melalui lemah-lembut dan Dia tidak memberi melalui kekerasan dan melalui apa jua selain daripadanya."

5. Berani dan bermaruah dan tidak penakut dan gopoh-gapah, sebaliknya tidak penyecut. Sebaik-baik keberanian ialah berterus-terang pada hak dan menyembunyikan rahsia, mengakui kesalahan dan insaf pada diri sendiri.

6. Bercakap benar dalam semua keadaan. Supaya sifat ini terjaga, kita hendaklah hormat menerima dan menyampaikan berita yang diterima. Rasulullah s.a.w memberi peringatan kepada kita melalui sabdanya yang bermaksud," Cukuplah seseorang itu berbohong apabila ia bercerita dengan semua yang yang dia dengar."

7. Sifat tawadu' dan merendah diri terhadap orang-orang mukmin. Allah SAW berfirman, "Dan rendahkanlah diri kamu kepada pengikut-pengikut kamu dan kepada orang-orang yang beriman." (Surah Asy-Syu'ara: 215)

8. Bersifat pemaaf, menyembunyikan kemarahan dan berbuat baik kepada pesalah. Allah SWT berfirman," ....dan orang-orang yang menyembunyikan kemarahannya dan memaafkan kesalahan-kesalahan manusia, dan ALLAH sukakan kepada orang yang bersifat ihsan dan memberi maaf." (Surah Ali-Imran: 134)

9. Tunai janji. Sifat tunai janji sifat yang paling lazim yang mesti dipunyai oleh seorang Muslim, apatah lagi kita, ia satu ukuran kepada kejujurannya, yang membuahkan keceriaan orang ramai dan pengikut dan menimbulkan kerjasama dan puas hati, sebaliknya tidak menepati janji boleh menimbulkan syak wasangka dan kecuaian pengikut dan kehampaan mereka.

10. Sabar. Perjalanan jauh seperti perjalanan kita mesti dipimpin oleh orang-orang yang sabar. Allah SAW berfirman ," Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah (pertahankanlah ) dengan kesabaran dan tetaplah dipengkalan dan bertakwalah kepada ALLAH, mudah-mudahan kamu berjaya. " (Surah Ali-Imran: 200)

"Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan dengan sabar dan solat, bahawasanya ALLAH bersama orang yang bersabar." (Surah Al-Baqarah:153)

11. Bersih hati daripada kepentingan peribadi dan murah hati.

12. Wara' dan zuhud.

13. Bersifat adil dan insaf.

14. Menjaga batas-batas agama.

15. Menjaga perpaduan bersama.

16. Tegas dan bertawakkal kepada ALLAH.

17. Bersederhana dan berpatutan dalam urusan.

18. Tetap (teguh) di atas kebenaran.

19. Menjauhkan diri daripada berbangga dengan kejayaan dan tidak memuji diri.

20. Berwaspada. Sifat berjaga-jaga dan berwaspada adalah salah satu ciri penting yang akan menyelamatkan kita daripada 2 bahaya iaitu perasaan kurang yakin dan terlalu yakin. Seseorang Muslim mesti beriman bahawa yang wajib di atas dirinya ialah bekerja. Sedangkan kejayaan atau berkekalan ia bukanlah tanggungjawabnya, segala usaha diserahkan kepada ALLAH yang memenangkan kita dan mengekalkan kita menurut sebab musabab yang telah ditentukan olehNya.

Mengenai sirah dakwah Rasulullah SAW dan para Rasul a.s yang lainnya, kecemerlangan pengorbanan dan ketulusan mereka boleh mendatangkan ketenangan jiwa dan kepuasan hati pada mujahidin di zaman ini.

Terdapat banyak lagi sifat-sifat dan ciri-ciri yang mesti menjadi pegangan setiap Muslim. Di antaranya ialah:

1. Sifat ihsan kepada faqir

2. Menjaga silaturrahim

3. Memuliakan anak yatim dan orang miskin

4. Sifat pemalu

5. Bercakap baik

6. Bermanis muka dengan semua orang

7. Menjauhkan diri daripada percakapan kasar, memaki hamun

8. Tidak suka berseloroh, menonjol-nonjol diri, menengking, mengeraskan suara

9. Menjauhkan diri daripada bid'ah dan syubhah

10. Menjaga semua perbuatan atau amalan sunnah sama ada waktu makan dan minum, waktu bermu'amalah dan sebagainya.

Wallahu'alam..
(Dipetik dari Amal Jama'i, Pengertian dan Tuntutannya oleh Hj Yahya Othman)

No comments: