Monday, October 5, 2009

3 golongan wanita dijamin syurga

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t,

SYURGA adalah untuk lelaki dan wanita yang beriman, taat kepada semua perintah Allah SWT, mencintai Allah dan Rasulullah saw melebihi segala-galanya di dunia ini.

Rasulullah saw menerangkan, tiga wanita yang akan bersama-samanya di syurga ialah sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis berikut:

1. Daripada Aishah ra: Aku tidak berasa cemburu kepada mana-mana isteri Rasulullah saw sebagaimana aku mencemburui Khadijah ra, meskipun beliau telah meninggal dunia ketika Baginda mengahwiniku. Aku selalu mendengar Rasulullah saw menyebut hal Khadijah, dan Allah SWT telah memberitahu Baginda bahawa Allah telah membina sebuah istana bernama Qasab (yang diperbuat daripada batu permata dan mutiara di syurga), dan apabila Baginda menyembelih kambing, Baginda akan mengirimkan bahagian-bahagian kambing itu kepada rakan Khadijah. (Hadis al-Bukhari)

Daripada Ismail RA berkata, aku bertanya kepada Abdullah bin Abi Aufa,Adakah Rasulullah memberi naungan kepada Khadijah? Beliau menjawab, Ya, iaitu istana Qasab di syurga di mana keadaannya sangat menyelesakan dan mendamaikan sekali. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Daripada Abu Hurairah berkata, Jibrail as datang kepada Rasulullah saw dan berkata, Wahai Rasulullah! Ini Khadijah datang menemuimu dengan membawa sup daging (atau makanan dan minuman). Apabila dia mendekatimu, sampaikan salam Tuhannya (Allah) kepadanya dan dariku, dan berilah naungan sebuah istana Qasab di syurga yang di dalamnya sangat indah dan menggembirakan. (Hadis al-Bukhari).

2. Daripada Ata bin Abi Rabah. Berkata Abbas kepadaku, Mahukah aku tunjukkan seorang wanita syurga kepadamu? Kataku, Ya. Dia berkata, Wanita hitam ini datang menemui Rasulullah saw dan berkata, Ya Rasulullah, aku menghidap sejenis sawan yang menyebabkan auratku terbuka, doakanlah untukku ya Rasulullah. Rasulullah berkata kepadanya, Jika kamu mahu, bersabarlah dan kamu akan masuk syurga; dan jika kamu mahu, Aku akan meminta Allah menyembuhkan penyakitmu itu.

Wanita itu berkata, Aku akan terus bersabar. Dan dia menambah, Tetapi auratku akan terdedah kerananya, jadi mintalah kepada Allah untukku agar auratku terpelihara. Rasulullah pun mendoakannya untuk itu..

3. Daripada Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah saw bersabda, Aku melihat diriku (di dalam mimpi) memasuki syurga, dan berhenti! Aku melihat ar-Rumaisa, isteri kepada Abu Talhah. (Hadis riyawat al-Bukhari)

Cuba kita renungkan daripada ketiga-tiga contoh wanita syurga ini. Bagaimana mereka boleh terpilih menjadi ahli syurga, bagaimana cara kehidupan mereka, kelakuan, cara mereka bercakap, berpakaian dan sebagainya yang sepatutnya menjadi contoh kepada semua wanita yang mahukan balasan syurga.

Wanita berkulit hitam yang disebut di dalam hadis di atas tidak diketahui namanya, dari mana asalnya. Cuma yang diketahui adalah amalannya, keimanannya, sifat malunya, harga dirinya, kebimbangannya mengenai auratnya yang terdedah apabila diserang penyakit sawan yang dihidapinya dan itulah yang membawanya menjadi ahli syurga.

Beliau ini menghidapi penyakit dan dia datang kepada Rasulullah saw minta didoakan penyakitnya sembuh. Dia tahu, kuasa penyembuhan adalah daripada as-Shaafee hanyalah Allah SWT. Dan Allah mengabulkan setiap doa Rasulullah saw.

Bagaimanapun, dia memilih untuk tetap sabar dan menderita di dunia untuk mendapatkan ganjaran syurga.

Ingatlah, iman+penderitaan+sabar adalah syurga balasannya. Dia reda menahan penyakit yang dideritainya itu semata-mata mengharapkan keredaan Allah SWT dan tidak sekali-kali menjadikan alasan penyakitnya untuk melanggar perintah Allah SWT iaitu membiarkan auratnya terbuka sewenang-wenangnya.

Begitu juga dengan wanita Muslim lain yang mungkin terpaksa berdepan dengan cabaran hidup dengan cara yang lain. Tidak kira siapa kita, sekiranya kita tetap pada jalan Allah, kita akan berhadapan dengan pelbagai dugaan, kesukaran kerana untuk mendapatkan syurga terpaksa melalui pelbagai rintangan. Tidak ada jalan mudah untuk mendapatkan syurga.

Seorang yang mengenali Allah dan Rasul-Nya, tidak akan ragu-ragu mengikut segala perintah-Nya. Dia akan terus mengharungi cabaran, cubaan dan rintangan atas nama Allah dan Rasul-Nya, semata-mata kerana rasa taat, kasih dan penuh yakin pertolongan dari Allah akan tiba.

Seorang wanita Muslim wajib memakai tudung dan pakaian yang menutup aurat. Bukanlah bermakna bertudung dengan hanya menutup kepala tetapi berpakaian ketat dan sendat, jarang hingga menampakkan susuk tubuh, bergaul bebas, bersenda gurau dan bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim; tiada rasa malu hingga menjejaskan maruah wanita Islam seluruhnya. Hijab yang sebenarnya itu membabitkan fizikal, moral dan rohani.

Wanita yang disebut dalam ketiga-tiga hadis di atas ialah contoh wanita yang menghambakan diri kepada Allah SWT, beriman dengan sebenar-benarnya, ikhlas, muslimah, taat kepada Allah SWT dan Rasulullah saw, bijak dan berfikiran jauh.

Jika wanita Muslim hari ini mahukan balasan syurga, contohilah Khadijah, wanita berkulit hitam dan ar-Rumaisa.

Iman itu bukan hanya harapan, ia adalah apa yang terpancar di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan.

Wassalam.
Dipetik dari sebuah artikel untuk perkongsian bersama, semoga beroleh sedikit manfaat darinya, insya Allah..

Bila kita memandang segalanya dari ALLAH,
Yang menciptakan segalanya,
Yang menimpakan ujian,
Yang menjadikan sakitnya hati kita,
Yang membuatkan keinginan kita terhalang,
Serta deritanya hidup kita,
Pasti akan damailah hati kita,
Kerana ALLAH tidak mentakdirkan sesuatu itu sia-sia,
ALLAH bukan tidak tahu deritanya hidup hambaNya,
Retaknya hati hambaNya,
Tapi,
Itulah yang ALLAH mahu,
Kerana ALLAH tahu hati yang sebeginilah selalunya lebih lunak
Dan mudah untuk dekat dan akrab denganNya,
SubhanaLLAH...

Thursday, August 27, 2009

Ramadhan bulan rahmat dan keampunan





Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum w.b.t..
Salam Ramadhan Al-Mubarak 1430 H

Sekadar perkongsian dan renungan serta peringatan terutama untuk diri ini dan perkongsian buat sahabat-sahabat sekalian..

ALLAH SWT telah berfirman:
§ "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa. (Maksud ayat 183 Surah al-Baqarah)

§ (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) Bulan Ramadhan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk dan penjelasan-penjelasan mengenai petinjuk itu dan perbezaan (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu sesiapa antara kamu hadir (dinegeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah berpuasa pada bulan itu." (Maksud ayat 185 Surah al-Baqarah)

§ Dan, seterusnya Allah s.w.t. memuji terhadap sahabat-sahabat Baginda Rasulullah s.a.w. yang bersungguh-sungguh dalam menghidupkan malam (khususnya malam-malam bulan Ramadhan): "Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam, Dan pada akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah s.w.t.)." (Maksud ayat 17-18 Surah al-Zariyat)

Rasulullah SAW juga bersabda:

· Maksudnya: "Sesiapa yang beribadah pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah s.w.t. dan mengharapkan pahalanya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) { Dengan penuh keimanan maksudnya yakin dengan janji-janji Allah s.w.t. dan melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t. Dengan penuh pengharapan ialah semata-mata mencari pahala daripada sisi Allah s.w.t. dan bukan bertujuan untuk mendapatkan dunia}

· Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mewajibkan puasa Ramadhan atas kamu sekelian dan aku mensunnahkan atas kamu agar beribadat pada bulan Ramadhan. Jesteru sesiapa yang berpuasa dan beribadah pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan oleh Allah s.w.t." (Riwayat Ashab al-Sunan)

· Maksudnya: "Telah datang bulan Ramadhan yang penuh berkat kepadamu. Dengannya, Allah (s.w.t.) melimpahkan rahmat-Nya, mengampunkan dosa dan mengabulkan doa. Pada bulan itu Allah (s.w.t.) melihat perlumbaan dalam mengerjakan ibadah dan membangga-banggakan kamu dihadapan para malaikat. Oleh kerana itu, tunjukkanlah kepada-Nya kebaikan-kebaikan dirimu. Maka sesungguhnya orang-orang yang celaka adalah mereka yang tidak mendapatkan rahmat Allah Azza wa Jalla pada bulan Ramadhan." (Riwayat al-Nasai)

Selain itu, terdapat juga beberapa akhlak dalam berpuasa..

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Bermaksud: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan cakap dusta (batil) dan perbuatannya, maka Allah tidak berhajat padanya dalam meninggalkan makan minumnya”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Bermaksud: “Bukan dinamakan puasa bila hanya sekadar menahan makan dan minum, tetapi puasa yang sungguh-sungguh itu adalah menahan diri dari percakapan yang tidak ada gunanya dan kata-kata yang keji”.
(Hadis menurut Sahih Muslim)


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)

Mohon maaf atas segala kekurangan, kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan sama ada sengaja ataupun tidak sengaja, sememangnya diri ini sering melakukan dosa dan kesalahan serta menunjukkan betapa lemahnya diri ini sebagai insan biasa. Hanya keampunan dari Nya dan maaf dari semua yang diharapkan dan dipinta agar hidup ini terus diberkati dan dirahmatiNya. Semoga ALLAH redha pada semua amalan kita dan diterima di sisi Nya..ameen..
Wallahu'alam..