Thursday, January 29, 2009

Mutiara Nasihat

"Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan ALLAH dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah kepada-Nya pada waktu pagi dan petang." (Surah Al-Ahzab: 41-42)



"Dan berilah peringatan kepada keluargamu yang terdekat."(Asy-Syura:214)


Bismillah walhamdulillah...selawat dan salam ke atas junjungan baginda SAW, keluarga baginda, sahabat baginda dan seluruh umat ISLAM...

Tatkala pada permulaan kenabian Rasulullah SAW, beginda telah menerima perintah ALLAH SWT seperti ayat di atas. Maka Rasulullah SAW telah mengundang kaum keluarga dan kerabatnya untuk makan bersama-sama di rumah baginda. Seramai 40 orang yang hadir dan diantaranya ialah bapa saudara baginda iaitu Abu Lahab.
Setelah selesai, baginda bersiap sedia untuk menyampaikan dakwah baginda, namun cepat-cepat dipotong oleh Abu Lahab. Dia bangun dan berkata dengan lantang dan penuh bertenaga,

"Mereka yang hadir ini adalah saudara-saudara bapamu dan anak-anak keturunan saudara-saudara bapamu. Maka sekarang berbicaralah dan hentikanlah penyelewenganmu itu.
Janganlah engkau menyerang kaummu. Janganlah kamu serahkan mereka kepada kemarahan bangsa Arab, sebab kerana kaummu tidak akan sanggup menentang bangsa Arab keseluruhannya. Mereka (kaummu) tidak sanggup berperang dengan mereka.
Kaummu sudah tahu maksudmu, hendak merubah agama mereka. Tidak tersembunyi lagi bagi mereka, apa urusan kamu yang sebenarnya dan kamu mengajak mereka kepada penyelewengan dan mengajak mereka supaya keluar dari tradisi nenek moyang (kita).
Jaga-jagalah, jagalah keselamatan dirimu dan keselamatan keturunan bapamu. Ketahuilah bahawa bangsa Arab tidak akan membiarkanmu (begitu sahaja). Tidak sukar bagi mereka untuk menyerang kamu dan membunuh kamu.
Kembalilah kepada agama bapamu dan nenek moyangmu. Itulah lebih baik bagimu. Kalau tidak, kami akan penjarakan kamu sehinggalah kamu sihat daripada penyakitmu ini, sehingga kami dapat melindungi dari kemarahan bangsa Arab.
Kami lebih patut dan pantas mendidikmu sampai fikiran kamu sihat kembali dan bebas dari penyakitmu.
Keluargamu lebih wajar untuk mendidikmu dan berhak untuk mengangkap dam memenjarakanmu, bila kamu terus bertahan pada pendirianmu itu dan itu lebih memudahkan bagi kamu dan bagi mereka, daripada apabila kaum Quraisy menerkammu dengan bantuan bangsa Arab yang lain.
Aku tidak pernah melihat seseorang mendatangkan malapetaka kepada keluarga bapanya, seperti yang kamu lakukan...."




Abu lahab dengan penuh emosi memberikan amaran kepada Rasulullah SAW dan menghasut kaum kerabatnya untuk menjauhi Rasulullah SAW. Dalam masa yang sama beliau mengharapkan Rasulullah SAW akan marah kembali atau memberikan sedikit respon. Namun Rasulullah SAW mengambil pendirian untuk berdiam diri sehingga kaum kerabatnya pulang ke rumah masing-masing. Tidak semua yang setuju dengan Abu Lahab, masih bersama baginda. Rasulullah SAW hanya tenang.

Sama asa setuju atau tidak, melihat ketenangan yang ada pada Rasulullah SAW dan melihat kemarahan yang tidak terkawal oleh Abu Lahab, ramai dikalangan mereka yang bersimpati kepada Baginda. Walaupun baginda tidak berkata apa-apa namun kejayaan milik Baginda SAW.


Di waktu yang lain, Rasulullah SAW sekali lagi mengadakan majlis jamuan di rumah Baginda. Baginda turut menjemput Abu Lahab walaupun mulanya ditegah oleh kerabat terdekat.

Setelah selesai jamuan, Rasulullah SAW segera bangun lalu memberikan ucapannya yang agung,
"Segala puji bagi ALLAH SWT. Aku memujiNya, aku memohon pertolongan daripadaNya dan beriman kepadaNya dan aku berserah diri kepadaNya.

Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang patut disembah melainkan ALLAH, satu-satunya tiada yang lain menyekutuiNya. Sesungguhnya seorang perintis tidak akan menipu ahlinya. Andaikata aku menipu semua manusia, aku telah menipu kamu semua keluargaku.


Demi ALLAH SWT tiada tuhan melainkan Dia, sesungguhnya aku ini utusan ALLAH kepada kamu khususnya dan kepada umat manusia seluruhnya. ALLAH, Dia sesungguhnya telah memerintahkan kepadaku, supaya aku memanggil kamu kepadaNya, demi firmannya, "Berilah peringatan kepada kaum kamu yang terdekat." Aku seru kamu dengan dua kalimah yang ringan di lidah tetapi berat timbangannya iaitulah penyaksian bahawa tiada tuhan selain ALLAH dan bahawa aku adalah pesuruh ALLAH.

Dan demi ALLAH, kamu pasti akan mati sebagaimana kamu tertidur dan akan bangkit kembali sebagaimana kamu bangun dari tidur dan pasti kamu akan dipertangungjawabkan atas apa yang telah kamu lakukan.

dan kamu akan diberi ganjaran yang baik atas perbuatan kamu yang baik dan ganjaran yang buruk atas perbuatan kamu yang buruk. Dan sesungguhnya di sana adalah syurga yang kekal abadi dan neraka yang kekal selamanya.

Wahai keturunan Abdul Muttalib...!

Demi ALLAH kamu tidak pernah melihat seorang pemuda membawa sesuatu yang lebih tinggi nilainya daripada apa yang aku bawakan kepada kamu sekarang ini. Sesungguhnya aku bawakan kepada kamu kebaikan dunia dan kebaikan akhirat."

Setelah dilontarkan pandangan dan ucapan BAginda, lalu diajukan secara langsung bagi melihat reaksi mereka. "Maka siapakah (diantara yang hadir) yang bersedia menyambut seruanku kepada urusan penting ini dan bersedia mendampingiku untuk menegakkannya?"

Hadirin terdiam. Tiba-tiba seorang pemuda termuda di kalangan mereka iaitu Ali Bin Abi Talib RA bangun dan menyambut. " Aku ya Rasulullah. Aku membelamu dan aku adalah musuh sesiapa yang memusuhimu."

Mendengar itu, ada hadirin yang tersenyum dan ada yang tertawa mengejek. Tetapi tepat sekali saatnya Rasulullah SAW memancing reaksi hadirin. Reaksi spontan dari Ali itu telah menjadi penggerak kepada perkembangan yang menentukan pendirian masing-masing. Kerana mata mereka terarah dari Ali kepada bapanya Abu Talib.

Abu Talib bangun dan berbicara dengan kata-kata yang lembut dan menyatakan kecintaannya kepada Rasulullah SAW serta kesediaannya untuk membela Baginda SAW. Namun, secara halus sia menerangkan bahawa dia tidak sanggup untuk meninggalkan agama nenek moyangnya itu. Katanya,
"Dan (lihatlah) itu semua wahai kaum kerabat keturunan bapa kamu, yang sedang berkumpul. Dan aku hanyalah salah seorang dari mereka tetapi aku tidak akan mendahului mereka untuk memenuhi apa yang kamu kehendaki. Teruskanlah menjalankan perintah yang diperintahkan. Demi ALLAH, aku tetap melindungi dan membelamu. Hanya aku sendiri tidak sanggup untuk berpisah dengan agama Abdul Muttalib."

Tidak dapat dibayangkan betapa marahnya Abu Lahab lalu berteriak kepada hadirin,
"Demi ALLAH, alangkah memalukan semua ini. Sergaplah ia sebelum ia disergap oleh orang lain."
Pada saat itu Abu Talib tampil ke depan dan membalas dengan tenang kata-kata yang cukup jelas. Antara kata-kata beliau ialah, "Demi ALLAH, kami akan bela dia selama kami ada."

Hadirin melihat keikhlasan dan keteguhan hati Abu Talib dan mereka telah mengikuti sikap Abu Talib lalu pulang ke rumah masing-masing.

Sekian sedikit perkongsian yang sempat dikongsikan bersama. Semoga dapat diambil iktibar dan pengajaran dalam kehidupan kita seharian. . Dipetik dari wasilah nasihah, 1001 feqh nasihah oleh Ahmad Jad, Darul Kalimah, Mesir dan diterjemahkan serta dihurai serba ringkas dengan kajian dan penilaian Muhammad Nazri Bin Zainuddin( Khadim al-ilm wasiyasah wal amal) terbitan Jahabersa 2006. Semoga beroleh manfaat darinya. Sebarang kesilapan harap dapat diberi tunjuk ajar.
Wabillahi taufiq wal hidayah...
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...






"Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin bahawa sesungguhnya bagi mereka kurnia yang besar dari ALLAH. Janganlah engkau ikut orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan biarkanlah mereka menyakiti engkau dan tawakallah kepada ALLAH. Cukuplah ALLAH sebagai wakil."( Surah Al-Ahzab: 47-48)